Kalau seekor rama-rama mengibaskan sayapnya di Sabah, bolehkah perbuatan kecil itu mencetuskan ribut di Selangor?
Persoalan itu sebenarnya berkait dengan satu fenomena yang diperkenalkan ahli meteorologi, Edward Lorenz, ketika menyampaikan ceramah pada tahun 1972.
Fenomena yang dikenali sebagai 'butterfly effect' itu mula dikaji Lorenz sejak awal 1960-an ketika beliau menjalankan kajian tentang corak cuaca.
Secara mudah, butterfly effect menerangkan bagaimana perubahan kecil pada permulaan sesuatu keadaan boleh menghasilkan keputusan yang sangat berbeza pada akhirnya.
Contohnya, kelewatan lima minit mungkin menyebabkan seseorang terlepas bas, tetapi keputusan menaiki bas seterusnya boleh membawanya bertemu seseorang yang mengubah hidupnya.
Namun, dalam kajian asal Lorenz, konsep ini digunakan untuk menerangkan bagaimana perubahan kecil pada keadaan cuaca boleh mempengaruhi corak cuaca seterusnya.
Asal Usul Butterfly Effect
Lorenz mula mendapat idea tentang butterfly effect ketika bekerja sebagai profesor di Institut Teknologi Massachusetts (MIT), Amerika Syarikat.
Ketika itu, beliau menggunakan komputer untuk membuat simulasi corak cuaca sebelum menyedari sesuatu yang menarik.
Dalam satu percubaan, beliau membundarkan nilai 0.506127 kepada 0.506, tetapi perubahan kecil itu menghasilkan keputusan simulasi yang sangat berbeza.
Daripada situ, Lorenz menyedari bahawa perubahan kecil pada permulaan sesuatu sistem boleh membawa kepada hasil yang jauh berbeza.
Beliau kemudian menghuraikan idea tersebut dalam kertas penyelidikan bertajuk 'Deterministic Nonperiodic Flow' yang diterbitkan pada tahun 1963.
Menariknya, Lorenz pada mulanya menggunakan contoh kibasan sayap burung camar sebelum beralih kepada rama-rama.
Idea itu turut menjadi asas kepada teori chaos, iaitu bidang matematik yang mengkaji bagaimana perubahan kecil boleh menghasilkan keputusan yang sukar diramal.

Sebab itulah ramalan cuaca untuk tempoh panjang sukar dibuat kerana perubahan kecil pada suhu, angin dan kelembapan boleh mempengaruhi corak cuaca seterusnya.
Sebenarnya, idea seumpama butterfly effect sudah muncul dalam karya fiksyen sebelum Lorenz memperkenalkan konsep tersebut.
Pada tahun 1952, penulis Ray Bradbury menghasilkan cerpen 'A Sound of Thunder' tentang seorang lelaki yang mengembara ke masa silam untuk memburu dinosaur.
Apabila kembali ke masa hadapan, lelaki itu mendapati dunia sudah berubah selepas dirinya terpijak seekor rama-rama ketika berada di masa silam.
Apa Yang Ramai Salah Faham Tentang Butterfly Effect?
Hari ini, istilah butterfly effect semakin popular, terutamanya apabila orang menggunakannya untuk menceritakan pengalaman hidup di media sosial.
Contohnya, ada yang menulis, “Butterfly effect memang gila! Kalau aku tak pergi parti itu, mesti aku takkan jumpa suami.”
Walaupun kedengaran romantik, penggunaan istilah itu sebenarnya sedikit berbeza daripada maksud asalnya.
Butterfly effect bukan bermaksud setiap peristiwa besar dalam hidup semestinya berpunca daripada satu keputusan kecil pada masa lalu.
Sebaliknya, ia menerangkan bagaimana perubahan kecil boleh membawa pelbagai kesan yang tidak dapat dijangka.
Salah faham sama turut muncul dalam filem Havana pada tahun 1990 yang dibintangi Robert Redford.
Dalam satu babak, watak lakonannya berkata, “Seekor rama-rama boleh mengibaskan sayap di China lalu menyebabkan taufan di Caribbean.”
Dialog itu seolah-olah menggambarkan bahawa kibasan sayap rama-rama memang boleh mencetuskan taufan di tempat lain.
Hakikatnya, contoh tersebut hanyalah gambaran tentang kesan perubahan kecil yang sukar diramal, bukannya bukti seekor rama-rama boleh menyebabkan bencana.
Memang menarik untuk percaya bahawa butterfly effect membawa kita bertemu dengan orang yang akhirnya menjadi pasangan hidup.
Namun, kita tidak akan tahu bagaimana kehidupan berubah sekiranya keputusan berbeza dibuat pada waktu itu.
Menurut penulis Peter Dizikes, gambaran butterfly effect dalam budaya popular mungkin kurang tepat dari sudut sains, tetapi menunjukkan cara masyarakat memahami fenomena tersebut.
Akhirnya, butterfly effect mengingatkan kita bahawa perkara kecil dan keputusan yang nampak remeh boleh membawa perubahan besar dalam kehidupan.
Cuma, kita tidak akan pernah tahu apakah kesan sebenar perubahan itu, sama ada terhadap kehidupan sendiri atau dunia sekeliling.

