Kereta Rempuh Kedai Stesen Minyak, Warga Emas & Dua Cucu Cedera
MELAKA — Dalam satu kejadian, seorang warga emas bersama dua cucunya berdepan detik cemas selepas kereta dipandunya merempuh sebuah kedai serbaneka di stesen minyak Jalan Bukit Rambai semalam, lapor Sinar Harian.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit, kejadian berlaku sekitar pukul 7 malam.
Difahamkan, lelaki berusia 69 tahun itu baru selesai mengisi minyak kereta berkenaan bersama dua cucunya yang berumur 13 dan 12 tahun.
Tertekan Pedal Minyak
“Selesai sahaja mengisi minyak, warga emas itu secara tiba-tiba tertekan pedal minyak. Ia mengakibatkan kereta jenis Hyundai Sonata dipandunya terbabas sebelum merempuh kedai serbaneka stesen minyak berkenaan,” katanya sewaktu dihubungi hari ini.
Warga Emas Cucu Cedera Kereta Rempuh Stesen Minyak
Tambah Christopher, kesemua mereka dilaporkan hanya mengalami kecederaan ringan. Manakala tiada pelanggan ataupun pekerja yang berada di kedai itu sewaktu kejadian.
BACA JUGA: Budak 6 Tahun Pandu Kereta Bawa Adik Terbabas
“Mereka dibawa ke hospital oleh anaknya yang tiba di tempat kejadian selepas dimaklumkan mengenai insiden tersebut.
“Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian sudah diperoleh. Dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (1987),” ujarnya.
Lelaki Dipercayai Tertekan Pedal Minyak, Kereta Rempuh Pintu Kedai Serbaneka
Terdahulu, seorang lelaki dipercayai tertekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta yang dipandunya terbabas sebelum merempuh pintu kaca sebuah kedai serbaneka pada tahun lalu, lapor Bernama.
Difahamkan, kejadian berlaku di sebuah stesen minyak di Bukit Rambai sekitar jam 10.30 malam.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata pemandu berusia 57 tahun terbabit baru sahaja selesai mengisi minyak di sebuah pam di stesen minyak berkenaan.
“Sejurus menghidupkan enjin kereta untuk beredar, dia dipercayai tertekan pedal minyak. Ia menyebabkan kereta jenis Proton Saga dipandunya hilang kawalan dan bergerak lurus seterusnya melanggar empat panel pintu kaca di lokasi kejadian.
“Ketika kejadian keadaan cuaca baik dan kering. Mangsa dan orang awam yang berada di tempat kejadian juga tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, bukti kejadian diperolehi oleh pengadu berusia 50 tahun yang juga pemilik stesen minyak itu menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Sumber: Sinar Harian