Siakap Keli
Budak pandu kereta terbabas
Kredit Sinar Harian

Budak 6 Tahun Pandu Kereta Bawa Adik Terbabas

Budak 6 Tahun Pandu Kereta Bawa Adik Terbabas

Langkawi: Sebuah kenderaan dipandu seorang budak lelaki berusia enam tahun sejauh 2.5 kilometer terbabas dan melanggar tiang lampu di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, Langkawi malam tadi.

Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, panggilan berhubung kejadian yang dibuat oleh orang awam telah diterima pada jam 11.15 malam.

Menurut Shariman Ashari, pemandu cilik itu mengalami kecederaan di dagu dan turut berada di dalam kenderaan itu ialah adik lelakinya yang berusia tiga tahun.

“Hasil siasatan mendapati kemalangan berpunca daripada kereta yang dipandu dari rumahnya tanpa pengetahuan ibu bapa. Kereta hilang kawalan serta terbabas masuk ke tepi jalan di Jalan Bukit Tangga, Langkawi.

“Siasatan juga mendapati ketika kejadian bapa sedang tidur, ibu ada dengan mereka dan kemudian ke bilik air. Selepas keluar bilik air mendapati kedua-dua mereka sudah tiada dalam rumah.

“Kes masih disiasat untuk mendapatkan maklumat lanjut. Keadaan tempat kejadian adalah gelap dan jalan lurus,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. 

Kenyataan itu dibuat Shariman Ashari selepas video berkenaan kemalangan melibatkan pemandu kanak-kanak enam tahun di Langkawi itu tular.

Tambah Shariman, kenderaan yang dipandu kanak-kanak tersebut turut mengalami kerosakan di bahagian hadapan termasuk bumper di sebelah kiri.

Turut membawa penumpang lain

“Penumpang berusia tiga tahun yang merupakan adik kepada pemandu tersebut pula tidak mengalami kecederaan.

“Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah Seksyen 31(1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001,” ujar beliau.

Sementara itu, berdasarkan video tular tersebut, kanak-kanak terbabit menjelaskan bahawa dia memandu kereta berkenaan untuk ke kedai.

Kanak-kanak tersebut berkata demikian kepada orang ramai yang datang membantu selepas kereta jenis Toyota itu terbabas.

Terdahulu, seorang pelajar tingkatan dua maut selepas motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah lori yang sedang membuat pusingan U.

Memetik laporan Astro Awani, nahas tersebut berlaku kira-kira 1.50 petang 1 April lalu di KM 17 Jalan Kuala Terengganu – Kuala Berang di Marang.

Akibat kemalangan tersebut, mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketika kejadian, mangsa sedang menunggang sebuah motosikal model Modenis Kriss dari arah Kuala Terengganu, menghala ke Kuala Berang.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka