Puteri Sarah Harap Tiada Lagi Persengketaan, Berbaik Macam Biasa
KUALA LUMPUR — Pelakon, Puteri Sarah, 38, hari ini lega selepas sah bercerai talak satu dengan bekas suaminya, Syamsul Yusof, 39, di Mahkamah Rendah Syariah hari ini.
Menerusi siaran langsung yang disiarkan Astro Awani, Puteri Sarah berharap hubungannya bersama bekas suaminya selepas ini dalam keadaan baik dan tiada persengketaan.
“Harapan saya agar selepas ini tiada persengketaan lagi dan kita berbaik macam biasa. Macam kita dah berjanji,” katanya.
Selesai Dari A-Z
Sebelum itu, dia juga meluahkan rasa syukur kerana semuanya selesai dengan baik.
“Alhamdulillah semuanya selesai, dan semalam kami dah berjumpa. Kami dah selesaikan semua dari A sampai Z,” katanya.
Sementara itu, Syamsul sewaktu ditemui bersama Puteri Sarah memberitahu bahawa perjumpaan tersebut tidak melibatkan mana-mana pihak dan hanya antara mereka berdua sahaja.
“Kali ini kami tidak melibatkan media sosial ataupun pihak-pihak lain, memang antara saya dan Sarah sahaja,” ujarnya.
Tambah pengarah filem Mat Kilau itu, peguam mereka turut menasihatkan agar menyelesaikan kemelut tersebut secara berdua.
BACA JUGA: Syamsul Yusof Dilapor Enggan Ceraikan Puteri Sarah
“Dan kami pun bukan muda lagi, dah nak masuk ke arah 40 dah pun. Jadi, ujian di usia begini perlu kuat.
“Alhamdulillah, pengakhirannya baik, dan diharapkan Sarah dapat meneruskan kehidupannya dengan baik begitu juga dengan saya. Kami masing-masing mendoakan walaupun kami berpisah. Kami tidak berdendam lagi, InsyaAllah,” ucapnya lagi.
Bercerai Talak Satu
Pada tengah hari tadi, Pengarah Filem ‘Mat Kilau’ Syamsul Yusof, melafazkan cerai terhadap bekas isterinya, Puteri Sarah dengan talak satu, lapor Sinar Harian.
“Saya ceraikan Puteri Sarah dengan talak satu,” kata Syamsul sewaktu prosiding di Mahkamah Rendah Syariah hari ini.
Lafaz yang diucapkan itu sekaligus menjadi noktah dalam kemelut rumah tangga bekas pasangan itu sebelum ini. Pengesahan cerai kedua selebriti itu berlangsung di hadapan Hakim Syarie, Akmalluddin Ilyas.
Puteri Sarah yang tiba di mahkamah dengan mengenakan pakaian kurung moden berwarna kelabu tidak menampakkan perubahan emosi yang ketara pada wajahnya sebaik lafaz cerai diucapkan.
Ketika prosiding, permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu, terhadap suaminya pada 16 Januari lalu dibenarkan oleh mahkamah.
Untuk makluman, kedua-dua mereka telah melangsungkan perkahwinan pada 8 Mac 2014. Sejak itu, Syamsul dan Puteri Sarah dikurniakan dua anak, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
[LANGSUNG] Ikuti siaran langsung perkembangan terkini berkenaan pengesahan lafaz cerai antara pengarah Syamsul Yusof dan Puteri Sarah di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur. #AWANInews https://t.co/3Ma7dyirZ4
— Astro AWANI (@501Awani) June 14, 2023
Sumber: Live Astro Awani