Kebanyakan Jururawat Berpakaian Ketat, Nampak Bentuk Badan – MP Kuantan
Perbincangan Dewan Rakyat pada hari ini membangkitkan isu berkenaan pemakaian pakaian jururawat wanita di fasiliti kesihatan awam yang didakwa ketat.
Memetik Astro Awani, isu itu dibahaskan oleh Ahli Parlimen Kuantan, Wan Razali Wan Nor ketika sesi perbahasan Kertas Putih Kesihatan dalam perbahasan Dewan Rakyat pada hari ini.
Menurutnya, kebanyakan jururawat wanita pada masa ini berpakaian ketat dan tidak mematuhi syariah.
“Saya ingin membangkitkan pemakaian (uniform) jururawat wanita iaitu kebanyakan berpakaian ketat dan menampakkan bentuk badan, di mana ia tidak patuh syariah.
“Saya ingin bertanya, adakah kita masih berterusan mahu mengikut acuan barat dalam etika pemakaian ini? Apakah ia tidak boleh diubah dan diberi kelongaran?,” soalnya di Dewan Rakyat pada Khamis.
KKM diminta memberi pilihan kepada jururawat berkenaan pemakaian uniform mereka
Dalam pada itu, ahli Parlimen Pas tersebut telah meminta kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mengambil contoh beberapa hospital lain.
Menurutnya, terdapat beberapa hospital lain yang pernah memberi pilihan kepada kakitangan wanita mereka untuk mengenakan pakaian yang lebih sesuai.
“Contohnya Hospital USM Kubang Kerian dan Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah Kuantan, tahniah saya ucapkan kepada kedua-dua hospital ini yang memberi pilihan etika yang lebih baik buat pekerja,” tambah Wan Razali.
BACA: 7 Bentuk Bantuan Kerajaan Untuk Golongan Belia, Ramai Yang Tak Tahu
Selain itu, Wan Razali turut membangkitkan isu berkaitan pemberian biasiswa kepada pelajar perubatan.
Menurutnya, pemberian biasiswa tersebut dilihat sebagai satu usaha untuk memantapkan lagi tenaga kerja dan kelangsungan kerja yang selari dengan tonggak keempat Kertas Putih Kesihatan.
“Saya ingin mendapatkan pengesahan berkenaan biasiswa kepada pelajar perubatan. Adakah peruntukan ditambah bagi memberi peluang pelajar menyambung pendidikan?,” soalnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar usaha KKM untuk mereformasikan sistem kesihatan ke arah berdaya tahan dan berkebajikan dapat dicapai oleh kerajaan.
BACA: Agensi Padam Memori Manusia Diceroboh, Orang Dalam Disyaki Curi Teknologi?
Sumber: Astro Awani