10-0, Malaysia Pecah Rekod Kemenangan Terbesar Di Laman Sendiri
Pasukan kebangsaan, Harimau Malaya berpesta gol ketika turun selaku tuan rumah menentang Papua New Guinea dalam perlawanan antarabangsa sebentar tadi.
Beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Terengganu, anak buah Kim Pan Gon beraksi garang apabila menyumbat 10 gol tanpa balas.
Malaysia sebelum itu dilihat berhempas-pulas di separuh masa pertama untuk mencari gol pendahuluan, sebelum di depan menerusi sepakan penalti Safawi Rasid.
Cerita bagaimanapun berubah sepenuhnya apabila separuh masa kedua bersambung. Bagaikan dirasuk semangat harimau, pasukan kebangsaan mempersembahkan corak permainan yang lebih garang. Manakala barisan hadapan Malaysia terus melancarkan serangan bertalu-talu ke arah gawang gol lawan.
Rekod kemenangan terbesar Malaysia di laman sendiri
Dengan kemasukan dua pemain penyerang sensasi kiri dan kanan negara, Arif Aiman dan Faisal Halim, Malaysia berjaya menambah sembilan gol lagi. Ia sekaligus menjadi kemenangan terbesar Harimau Malaya di tanah air sendiri.
Lebih manis, tujuh gol hadir menerusi dua pemain sahaja, masing-masing tiga menerusi Paulo Josue dan empat gol yang disumbangkan Arif Aiman. Faisal Halim dan Daniel Ting masing-masing menyumbang satu gol untuk melengkapkan malam gemilang Harimau Malaya.
Stadium menjadi gamat sebaik sahaja pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat, dengan sorakan para peminat yang teruja disajikan gol demi gol.
Kemenangan 10-0 ini juga memadam rekod kemenangan terbesar Harimau Malaya di halaman sendiri. Malaysia sebelum ini pernah menundukkan Bhutan 7-0 dalam perlawanan persahabatan dan Timor Leste 7-1 dalam kelayakan Piala Asia 2023.
Kedua-dua perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil. Detik paling diingati tentunya kemenangan ke atas Timor Leste pada 2019, kerana ia antara kemenangan yang membawa Malaysia layak ke Piala Asia secara merit.
Gol-gol Malaysia dalam perlawanan berkenaan disumbangkan oleh Corbing Ong, Shahrel Fikri, Nor Shahrul Idlan Talaha, Faiz Nasir dan Akhyar Rashid. Manakala Safawi Rasid menyumbat dua gol dalam perlawanan tersebut.
Rekod kemenangan terbesar pasukan kebangsaan dalam sejarah dilakar ke atas pasukan Filipina, 15-1 ketika beraksi di Sukan Asia 1962 di Jakarta, Indonesia.
Bagaimanapun, Malaysia ketika itu masih berstatus Tanah Melayu. Temasya itu juga menyaksikan antara pencapaian terbaik bola sepak tanah air apabila berjaya membawa pulang pingat gangsa.
BACA: Belanda Agih Sun Cream Percuma Untuk Rakyatnya, Cegah Peningkatan Kes Kanser Kulit
Sumber: Google, Semuanya Bola