KUALA LUMPUR, [20 Jun 2023] – Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] telah mengadakan kolaborasi strategik bersama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam mewujudkan integrasi rangkaian proses baharu bagi menghubungkan sistem persaraan antara JPA KWAP-LPPSA.
Pemeteraian MoU telah disaksikan oleh YB Datuk Seri Ahmad Maslan, YBrs. Dr. Anesee Bin Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Operasi), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), YBhg. Datuk Hjh. Nik Amlizan Binti Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP], YBrs. Encik Mohd Farid Bin Dato’ Hj. Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) dan ditandatangani oleh YBhg. Dato’ Mohd Shaiful Bin Ibrahim, Pengarah Bahagian Pencen, Jabatan Perkhidmatan Awam, YBrs. Encik Haizad Rizal Bin A Aziz, Ketua Pegawai Kewangan, Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dan YBrs. Encik Zuwardi Bin Zubir, Ketua Pegawai Operasi, LPPSA. JPA, KWAP dan LPPSA juga menyambut baik usaha yang dilaksanakan dan menganggap ia merupakan satu inisiatif positif yang dapat memudahkan urusan pesara Kerajaan yang mempunyai pembiayaan perumahan LPPSA.
LPPSA pada tahun 2022 telah meluluskan pembiayaan perumahan berjumlah RM10.55 Bilion kepada 34,774 peminjam dengan pengeluaran bayaran pembiayaan berjumlah RM11.04 Bilion. Disamping itu, jumlah peminjam aktif LPPSA pada tahun 2022 adalah sebanyak 776,343 akaun.
Pengintegrasian sistem antara Kerajaan Malaysia yang diwakili oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dengan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] dengan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) telah bermula
pada Disember 2022. Pengintegrasian ini memastikan kelancaran proses pertukaran data potongan pencen bagi pembayaran balik pembiayaan perumahan LPPSA.
Penambahbaikan ini memberi manfaat kepada 80,000 pesara dan peminjam LPPSA sedia ada serta 575,000 bakal pesara peminjam LPPSA yang memilih skim berpencen.
Beberapa kelebihan integrasi sistem JPA-KWAP-LPPSA boleh dikecapi dengan matlamat meningkatkan proses pentadbiran persaraan Kerajaan:
- Meningkatkan efisiensi operasi dengan menggantikan proses manual kepada sistem integrasi yang mampu meningkatkan produktiviti dan kualiti secara keseluruhan.
- Mengurangkan aduan serta keluhan daripada pesara Kerajaan yang mempunyai pembiayaan perumahan LPPSA dan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan.
- Memastikan arahan potongan pencen dan potongan bayaran balik pembiayaan perumahan dilaksanakan pada masa yang tepat dan lancar tanpa sebarang kelewatan.
- Meningkatkan tahap kecekapan bayaran balik pembiayaan perumahan melalui potongan pencen kepada LPPSA secara efisien.
- Menyediakan medium yang tepat, selamat untuk perkongsiaan maklumat terhadap penghantaran data pesaraan di samping menjaga kerahsiaan maklumat peribadi pesara.
- Penghantaran dan penerimaan data pesaraan dan kematian dilaksanakan secara maya dan sistematik.
“Inisiatif ini mencerminkan komitmen kami dalam memudahkan urusan pesaraan Kerajaan. Integrasi ini merupakan langkah penting dalam penambahbaikan sistem sedia ada, sejajar dengan kemajuan teknologi era kini. Kolaborasi dengan agensi seperti JPAdan KWAP memperkuatkan lagi sistem ini dan memberikan manfaat yang berpanjangan kepada para pesara.” kata Encik Mohd Farid Bin Dato’ Hj. Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif LPPSA.
Datuk Hajah Nik Amlizan Mohamed, Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, berkata, “Selain mengurus pelaburan dana Kumpulan Wang Persaraan dan memproses pembayaran pencen pesara Kerajaan, KWAP juga melaksanakan pelbagai usaha bagi menambahbaik pengalaman persaraan untuk pesara Kerajaan. Inisiatif integrasi ini merupakan salah
satu daripadanya, di mana ia menghasilkan aliran proses data pesara yang lebih sistematik dan terkawal, selain meningkatkan keselamatan data pesara. Melalui kolaborasi ini, JPA kekal sebagai pemilik data, pentadbir dasar dan penasihat kepada prosedur, pesara dapat menikmati proses pengurusan yang lebih baik di mana urusan mereka dengan LPPSA boleh dijalankan dengan lebih pantas. Ianya juga membolehkan KWAP mencapai aspirasi yang selaras dengan slogan baharu kami, “Teman Persaraan Anda” dan kekal komited dalam memastikan pesara bukan sahaja menerima perkhidmatan yang efisien malah dapat menjalani alam persaraan dengan selesa.”
Integrasi antara JPA, KWAP dan LPPSA ini telah bermula seawal 11 Oktober 2021 di mana, persetujuan spesifikasi keperluan perisian (SRS) telah ditandatangani dan secara rasminya sistem integrasi ini telah mula digunakan pada 29 Disember 2022. Pelaksanaan integrasi ini telah mempermudahkan operasi, meningkatkan kecekapan, dan membuka jalan bagi kerjasama yang lebih baik antara JPA, KWAP dan juga LPPSA. Penambahbaikan ini tidak akan berakhir setakat ini, sistem integrasi ini adalah proses berterusan dan akan ditambahbaik dari masa ke semasa. Kolaborasi ini juga merupakan kerjasama yang berterusan antara Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Kumpulan Wang Persaraan [Diperbadankan] (KWAP) dan Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA).