Siakap Keli
lelaki lawan arus suke
Kredit: BERNAMA

Polis Selesai Rakam Keterangan Lelaki Lawan Arus Di Lebuhraya SUKE

Polis Selesai Rakam Keterangan Lelaki Lawan Arus Di Lebuhraya SUKE

KUALA LUMPUR, 20 Jun (Bernama) — Polis selesai mengambil keterangan suspek yang menunggang motosikal melawan arus di Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) semalam, yang menyebabkan seorang penunggang motosikal berkuasa tinggi maut dalam kejadian 14 Jun lepas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail berkata polis juga selesai mengambil keterangan saksi iaitu operator kamera litar tertutup (CCTV) SUKE dan Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (DUKE) juga pada semalam.

Beliau berkata keadaan suspek ketika ini dilaporkan stabil dan masih lagi dirawat.

“Selain itu, kedua-dua kenderaan terlibat telah dihantar untuk pemeriksaan PUSPAKOM dan Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu, kertas siasatan kes terbabit akan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Selangor dalam tempoh terdekat setelah selesai siasatan.

Dalam kejadian tengah hari 14 Jun, mangsa Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, meninggal dunia selepas terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE dengan ketinggian 30 meter akibat mengelak daripada melanggar sebuah motosikal yang melawan arus.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan menyebabkan kematian.

Suspek lawan arus di Lebuhraya SUKE akhirnya serah diri

Sebelum ini, media melaporkan suspek yang disyaki menunggang motosikal melawan arus sehingga menyebabkan kemalangan maut di jejambat Lebuhraya SUKE akhirnya menyerah diri di Balai Trafik Kajang, pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, suspek yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 41 tahun itu tinggal di Kajang.

Sumber: BERNAMA

BACA: Anak Pukul Ibu Hingga Maut Selepas Ditegur Buat Bising

Nurhanis

Sesuatu yang dilepaskan secara terpaksa, sakitnya tidak pernah sederhana