Siakap Keli
imam isteri meninggal dunia 12 jam
Kredit: Sinar Harian

Imam Menyusul Dijemput Illahi, Tak Sampai 12 Jam Selepas Isteri Meninggal Dunia

Imam Menyusul Dijemput Illahi, Tak Sampai 12 Jam Selepas Isteri Meninggal Dunia

Seorang imam dan bilal di Surau Haji Taha di Kampung Sungai Lurus Darat, Senggaran meninggal dunia di batu Pahat, Johor hari ini.

Difahamkan, Muhammad Nasir (81) menghembuskan nafas terakhir kurang 12 jam selepas isterinya meninggal dunia pada hari yang sama.

Sebelum itu, isterinya, Hafsah Ahmad (83) terlebih dahulu pulang ke rahmatullah di Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) pada jam 1.45 pagi.

Menurut Sinar Harian, kematian wanita itu adalah berpunca dari penyakit angin ahmar selain mempunyai ketumbuhan pada bahagaian otak.

Manakala, Muhammad Nasir atau lebih dikenali sebagai Haji Ali dalam kalangan penduduk Kampung Sungai Lurus Darat pula meninggal dunia pada jam 1.05 petang hari sama.

Imam tersebut ‘pergi’ selepas beberapa jam selepas isterinya dilaporkan selamat dikebumikan pada jam 11.30 pagi.

Anak saudara kepada pasangan tersebut, Jailan Salikin memaklumkan mengetahui berita itu selepas beberapa jam Allahyarhamah Hafsah selamat disemadikan.

“Saya mendapat panggilan memaklumkan Haji Ali pula meninggal dunia. Sebelum itu, arwah dilihat agak gelisah selepas isterinya dimasukkan ke wad.

“Sebelum pemergiannya, Haji Ali kelihatan sihat. Pada Isnin lalu, isterinya ketika itu sedang mendapat rawatan di HSNI dan arwah meminta izin mahu menziarah.

“Haji Ali risau kerana isterinya baru menjalani pembedahan. Bagaimanapun, sebaik melihat keadaan isterinya, arwah tiba-tiba pengsan.

“Haji Ali dimasukkan ke wad disebabkan tekanan darah rendah. Pagi semalam, arwah mendapat tahu isterinya sudah tiada,” jelasnya.

Pasangan tersebut sering ke surau dan bersedekah

Anak saudaranya yang berusia 64 tahun itu memberitahu, pasangan berkenaan merupakan seorang pesara tentera dan guru agama.

Tambah Jailan, sepanjang hayatnya, pasangan itu dilihat sentiasa bersama-sama, termasuk selalu ke surau untuk beribadah.

Sementara itu, kariah Surau Haji Taha, Abdul Rahman Masrikin berkata, arwah yang juga bendahari surau adalah penyumbang tetap yang bersama-sama melunaskan bil elektrik dan air surau itu ketika masih hidup.

“Pasangan ini banyak memainkan peranan menghidupkan surau dengan pelbagai aktiviti hingga menarik kehadiran lebih ramai jemaah.

“Saya sudah lama mengenali mereka. Kedua-duanya cukup pemurah selain disenangi kariah dan jemaah di surau ini,” katanya.

BACA: Bekalan Oksigen Kapal Selam Titan Dipercayai Sudah Habis

Sumber: Sinar Harian

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma