Amerika Benarkan Daging Ayam ‘Dibiak’ Dalam Makmal Dijual Kepada Awam
Amerika Syarikat telah meluluskan pengeluaran dan penjualan daging ayam hasil kultivasi yang dibesarkan dalam makmal buat kali pertama pada Rabu lalu.
Kelulusan ini sekaligus membuka jalan kepada dua buah syarikat berpangkalan di California untuk menjual ayam yang ‘dibiak’ menerusi sel haiwan berkenaan.
Sebelum ini, pengguna hanya dijangka dapat membeli daging ayam makmal itu di kedai-kedai dalam masa beberapa tahun akan datang.
Bagaimanapun, dengan kelulusan tersebut, warga Amerika Syarikat dapat menikmati produk tersebut lebih awal daripada jangkaan.
Kelulusan terhadap penghasilan daging menerusi kaedah makmal ini diberi selepas prosedur penghasilan daging berkenaan lulus pemeriksaan peringkat persekutuan.
Keputusan ini dianggap sebagai batu loncatan bagi syarikat-syarikat untuk menghasilkan daging haiwan menerusi selnya.
Selain itu, pengguna juga dapat mencari sumber alternatif bagi ayam yang dibesarkan dan disembelih di dalam ladang ternakan.
Penyokong protein alternatif bersama-sama dengan syarikat yang meminta kelulusan persekutuan telah menyambut baik berita tersebut.
Bagi mereka, kelulusan ini sangat penting bagi industri penghasilan daging dan sistem makanan yang kini berdepan beberapa kebimbangan.
Dengan kelulusan yang diberikan terhadap prosedur berkenaan, kesan pengeluaran daging terhadap alam sekitar dapat dikurangkan dan layanan kepada haiwan itu ditambah baik.
“Kelulusan ini dapat mengubah bagaimana daging dapat dihasilkan dan dihidangkan di atas meja makan kita,” kata Dr. Uma Valeti, Ketua Pengawai Eksekutif (CEO) dan pengasas Upside Food.
“Ini adalah satu langkah besar ke hadapan ke arah masa depan yang lebih mampan.” jelasnya menerusi satu kenyataan.
Difahamkan, Amerika Syarikat merupakan negara kedua yang meluluskan penghasilan dan penjualan daging yang dihasilkan dalam makmal.
Menurut New York Times, Singapura merupakan negara pertama di dunia yang meluluskan dan mengiktiraf kaedah ini.
Presiden Good Food Institute, Bruce Friedrich berkata, keputusan Amerika Syarikat untuk meluluskan kaedah ini merupakan satu langkah yang kritikal dalam industri berkenaan.
Tambahnya, seluruh dunia sentiasa memerhati sistem kelulusan keselamatan makanan di Amerika Syarikat, dan kini banyak kerajaan akan mengikutinya.
Justeru, penyokong daging yang dikultivasi memberitahu bahawa peroduk berkenaan memiliki kesan yang lebih baik terhadap alam sekitar, keselamatan makanan dan kebajikan haiwan.
Walau bagaimanapun, terdapat segelintir pihak yang merasa skeptikal terhadap perkara ini. Mereka bimbang akan risiko saintifik dan keselamatan dan mengatakan faedahnya terhadap alam sekitar masih belum terbukti.
Setakat ini, kira-kira 100 syarikat di seluruh dunia termasuk di Amerika Syarikat sedang memfokuskan terhadap pengeluaran daging yang dikultivasi dalam makmal.
Industri ini dianggarkan bernilai $247 juta (RM1.15 bilion) pada 2022 dan dijangka berkembang pesat sehingga $25 bilion (RM116 bilion) pada 2023.
BACA: Isteri Pengendali Kapal Selam Titan Rupanya Keturunan Mangsa Kapal Karam Titanic
Sumber: New York Times