Siakap Keli
Isteri kapal selam titan titanic
Kredit: Twitter

Isteri Pengendali Kapal Selam Titan Rupanya Keturunan Mangsa Kapal Karam Titanic

Isteri Pengendali Kapal Selam Titan Rupanya Keturunan Mangsa Kapal Karam Titanic

Siapa sangka bahawa isteri kepada pengendali kapal selam Titan yang dilaporkan hilang baru-baru ini mempunyai pertalian darah dengan pasangan warga emas yang menjadi mangsa tragedi kapal Titanic pada 1912.

Wendy Rush, merupakan isteri kepada pengendali kapal selam berkenaan, Stockton Rush. Kapal selam yang dikemudikan oleh Stockton dilapor meleduk dan serpihan berjaya ditemui semalam.

Kapal selam berkenaan turut membawa empat penumpang lain, yang dilapor hilang ketika dalam perjalanan menuju lokasi bangkai kapal Titanic. Bangkai kapal Titanic dilapor berada pada kedalaman kira-kira 12,500 kaki (3.8 kilometer).

Isteri pengendali kapal selam Titan rupanya keturunan mangsa kapal karam Titanic

Mungkin kebetulan, isteri kepada Stockton merupakan keturunan kepada pasangan warga emas yang maut dalam tragedi kapal Titanic karam, yang berlaku kira-kira 111 tahun lalu.

Difahamkan, Wendy merupakan keturunan kepada seorang hartawan, Isidor Straus dan isterinya, Ida. Pasangan tersebut merupakan sebahagian daripada 1,500 mangsa yang terkorban dalam tragedi tersebut.

Wendy atau nama kelahirannya, Wendy Hollings Weil merupakan cucu kepada anak perempuan pasangan itu, Minnie Straus Weil.

Berdasarkan LinkedIn, Wendy menjawat jawatan sebagai Pengarah Komunikasi di syarikat pengendali kapal selam berkenaan, OceanGate. Dia juga aktif sebagai ahli ekspedisi yang dianjurkan syarikat berkenaan.

Watak fiksyen Isidor dan Ida juga ada dalam Titanic

Watak pasangan tersebut turut difilemkan menerusi filem adaptasi, Titanic (1997) arahan James Cameron. Dalam filem berkenaan, watak pasangan itu difiksyenkan menjadi watak Lew Palter dan Elsa Raven.

Antara adegan mereka yang diingati dalam filem itu adalah ketika pasangan berkenaan berpegangan tangan di atas katil semasa kapal berkenaan karam.

Menurut CNN, ketika Isidor dan Ida merupakan penumpang kelas pertama Titanic. Mereka dalam perjalanan pulang ke Amerika Syarikat daripada negasa asal, Jerman. Saksi yang terselamat berkata, ketika tragedi itu berlaku, pasangan itu kali terakhir dilihat berada di dek sebelum ditenggelamkan ombak.

Pasangan tersebut mengutamakan nyawa penumpang lain berbanding dirinya sendiri

Isidor Straus merupakan pengasas bersama Macy, sebuah syarikat pasar raya di Amerika Syarikat. Kisah pengorbanan beliau dan isterinya telah menarik perhatian bagi sesiapa yang mengikuti kisah mengenai tragedi Titanic.

“Pada malam 14 April, selepas Titanic melanggar sebongkah aisberg, Isidor dan Ida diarahkan untuk pergi ke bot penyelamat.

”Walau bagaimanapun, Isidor yang sudah berusia enggan berbuat demikian, ketika beberapa orang muda ditahan daripada menaiki bot tersebut,”

Kisah berkenaan pasangan ini diabadikan dalam Arkib Kebangsaan United Kingdom.

“Ida juga enggan menaiki bot penyelamat dan berkata, ”Ke mana awak pergi, saya akan pergi”. Pembantu mereka, Ellen diarah menaiki bot dan Ida menghadiahkan kot bulu kepadanya. Ida berkata dia tidak lagi memerlukan pakaian berkenaan,” kata arkib itu lagi.

Jasad Isidor telah ditemui dan disemadikan di New York’s Woodlawn Cemetery. Manakala jasad isterinya, Ida masih belum ditemui hingga ke hari ini.

BACA: Hilang Minat Belajar, Cikgu Dedah Ada Budak Darjah 6 Siap Upah Kawan Siapkan Kerja Sekolah

Sumber: CNN

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma