Presiden Rusia, Vladimir Putin memperkenalkan sebuah kapal selam berkuasa nuklear baharu dan memaklumkan bahawa Rusia akan menambah lima lagi kapal selam dalam armada negara itu menjelang 2030, lapor AFP.
Putin menghadiri upacara menaikkan bendera di atas kapal selam Perm di limbungan kapal Sevmash yang terletak di bandar Severodvinsk, barat laut Rusia, pada Jumaat.
Ia sekali gus menandakan penyerahan rasmi kapal selam berkenaan kepada tentera laut negara itu.
“Rusia merupakan antara segelintir negara di dunia yang mampu membina kapal selam nuklear berkuasa tinggi seperti ini, iaitu senjata yang mempunyai jangkauan dan kepentingan global,” katanya.
Kapal selam berkuasa nuklear merupakan komponen penting dalam strategi pencegahan nuklear Rusia kerana keupayaannya beroperasi secara sulit di bawah permukaan laut memastikan negara itu mampu melancarkan serangan balas sekiranya diserang.
Putin berkata, tentera laut Rusia akan menerima lima lagi kapal selam menjelang 2030, termasuk tiga daripada kelas Yasen-M, iaitu kelas yang sama dengan kapal selam Perm.
Tambahnya, kapal selam berkenaan mampu beroperasi di mana-mana bahagian lautan dunia sambil membawa pelbagai jenis peluru berpandu kruis.
