Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) menerusi Nexus Produktiviti Aeroangkasa (AeroPN) dan Nexus Produktiviti Mesin dan Kejuruteraan (MEPN) sedang meneroka model pembiayaan baharu bagi membantu syarikat tempatan dalam industri berteknologi tinggi mendapatkan akses modal yang lebih sesuai dengan keperluan operasi mereka.
Inisiatif itu melibatkan penerokaan pembiayaan berasaskan kontrak bekalan serta pengiktirafan dan penilaian aset tidak ketara, dengan sasaran mengenal pasti kumpulan awal 10 syarikat dalam sektor aeroangkasa serta mesin dan kejuruteraan menjelang 2027.
Menurut MPC dalam kenyataan hari ini, anggaran awal keperluan pembiayaan adalah antara RM15 juta hingga RM30 juta bagi setiap syarikat.
Cadangan berkenaan dibincangkan dalam bengkel strategik anjuran AeroPN di Bangsar pada 16 November lalu, yang diterajui Champion AeroPN, Naguib Mohd Nor, bersama wakil industri dan institusi kewangan, termasuk MIDF, MAIA, MEIF dan MASSCI.
MPC memaklumkan perusahaan kecil dan sederhana dalam sektor pembuatan bernilai tinggi masih berdepan jurang pembiayaan, khususnya apabila melaksanakan projek berintensif modal dengan tempoh kelayakan teknikal, pengeluaran dan pembayaran yang panjang.
Walaupun mempunyai kontrak yang berwibawa serta keupayaan teknikal terbukti, syarikat berkenaan menghadapi kesukaran mendapatkan pembiayaan tepat pada masanya kerana penilaian pinjaman konvensional masih banyak bergantung kepada prestasi kewangan terdahulu, nisbah hutang dan cagaran fizikal.
Bagi menangani cabaran itu, bengkel tersebut mencadangkan model pembiayaan melalui dua pendekatan yang mengambil kira keperluan semasa industri pembuatan.
Pendekatan pertama melibatkan kerjasama dengan agensi kerajaan berkaitan, termasuk Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), untuk meneroka penggunaan kontrak bekalan yang disahkan bersama syarikat multinasional dan entiti awam bagi menyokong akses kepada pembiayaan modal kerja serta perbelanjaan modal.
Menurut MPC, pendekatan itu turut memerlukan mekanisme jaminan dan perkongsian risiko yang bersesuaian.
Ia bertujuan membolehkan institusi kewangan menilai permohonan berdasarkan peluang perniagaan yang berwibawa serta jangkaan aliran tunai, selain prestasi kewangan terdahulu dan cagaran fizikal.
Pendekatan kedua pula memberi tumpuan kepada peluasan pengiktirafan dan penilaian harta intelek serta aset tidak ketara lain dalam proses penilaian pembiayaan, berasaskan inisiatif yang sedang melibatkan MEPN dan MIDF.
Langkah itu berpotensi membuka laluan pembiayaan tambahan kepada syarikat yang mempunyai harta intelek bernilai, keupayaan kejuruteraan proprietari dan aset tidak ketara lain yang mempunyai nilai komersial.
MPC memaklumkan pemilihan kumpulan awal syarikat akan mengambil kira permintaan pasaran yang berwibawa, potensi memperkukuh rantaian bekalan tempatan serta kesediaan melaksanakan peningkatan produktiviti dan penambahbaikan tadbir urus.
Bagi menyokong pelaksanaan menjelang 2027, AeroPN dan MEPN merancang mengadakan sesi libat urus strategik bersama MIDA dan Kementerian Kewangan sebelum akhir tahun ini.
Sesi berkenaan bertujuan menyelaraskan keperluan industri dengan mandat institusi kewangan, selain mengundang kedua-dua pihak menyertai pasukan petugas inisiatif tersebut.
Menurut MPC, usaha itu merupakan sebahagian daripada komitmennya memperkukuh daya saing industri tempatan supaya mampu berkembang sebagai rakan rantaian bekalan global yang berdaya tahan dan bernilai tinggi.

