Cristiano Ronaldo menjadi atlet aktif pertama yang mencatatkan pendapatan kerjaya melebihi AS$2 bilion berdasarkan senarai terbaharu Forbes, manakala Lionel Messi dijangka mencapai angka sama menjelang penghujung 2027.
Menurut Forbes, bintang Portugal itu mendahului senarai dengan anggaran pendapatan kerjaya sebanyak AS$2.09 bilion, diikuti legenda golf Tiger Woods dengan AS$1.97 bilion.
Messi pula berada di kedudukan ketiga dengan anggaran pendapatan kerjaya sebanyak AS$1.87 bilion.
Pendapatan Ronaldo sebahagian besarnya disumbangkan oleh kontrak lumayan bersama kelab Liga Pro Saudi, Al Nassr, yang dilaporkan membayarnya lebih AS$200 juta setahun.
Pemain berusia 41 tahun itu turut mencatatkan pendapatan tahunan sekurang kurangnya AS$100 juta selama 10 musim berturut turut, termasuk ketika beraksi bersama Manchester United, Juventus dan Real Madrid.
Walaupun pendapatan kerjayanya sudah melebihi AS$2 bilion, Forbes menganggarkan nilai bersih kekayaan Ronaldo sebanyak AS$1.2 bilion.
Beliau turut disenaraikan sebagai bilionair dunia oleh penerbitan itu pada Jun lalu, mendahului Messi yang mempunyai anggaran nilai bersih kekayaan sebanyak AS$1.1 bilion.
Dalam perkembangan lain, Ronaldo turut memburu satu lagi pencapaian besar dalam karier bola sepaknya apabila semakin menghampiri sasaran 1,000 gol di peringkat kelab dan antarabangsa.
Dia hanya memerlukan 18 gol lagi untuk mencapai angka berkenaan.
Sementara itu, Messi yang kini berusia 39 tahun diunjurkan mencatatkan pendapatan kerjaya sebanyak AS$2.02 bilion menjelang penghujung 2027.
Pendapatan tahunannya bagi tahun ini dianggarkan berjumlah AS$145 juta, disokong perpindahannya ke kelab Major League Soccer (MLS), Inter Miami, serta perjanjian perkongsian hasil yang dilaporkan melibatkan penaja Adidas dan Apple TV.
Messi sebelum ini dilaporkan menolak tawaran bernilai AS$400 juta setahun dari Arab Saudi selepas meninggalkan Paris Saint Germain pada 2023 sebelum memilih untuk menyertai Inter Miami.
Perpindahan itu turut membantu meningkatkan nilai kelab berkenaan kepada AS$1.35 bilion, sekali gus menjadikannya kelab paling bernilai dalam MLS berdasarkan anggaran yang dilaporkan.
Selain pendapatan sebagai pemain, Messi juga mempunyai pilihan untuk membeli pegangan ekuiti dalam Inter Miami selepas bersara, yang berpotensi menambah sumber pendapatannya pada masa hadapan.
Beliau turut memiliki pegangan dalam dua kelab bola sepak Sepanyol, CD Eldense dan UE Cornella.
Ketika kedua dua pemain menghampiri penghujung karier masing masing, pencapaian kewangan mereka turut mencerminkan pengaruh besar yang dibina sepanjang tempoh mendominasi dunia bola sepak.

