Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

PM Anwar Adakan Pertemuan Dengan Putin, Bincang Kerjasama Malaysia-Rusia

PM Anwar
Kredit: Anwar Ibrahim

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di luar Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi.

Menerusi kenyataan di media sosial miliknya, Anwar berkata pertemuan itu bermula sekitar jam 11 malam dan berlangsung dalam suasana persahabatan serta memberi ruang untuk mereka menilai kemajuan hubungan Malaysia- Rusia.

Selain itu, pertemuan tersebut juga menjadi medan menetapkan beberapa langkah konkrit bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara.

“Saya membangkitkan keperluan untuk mempercepat usaha merealisasikan penerbangan terus antara Malaysia dan Rusia serta kemudahan perjalanan tanpa visa seperti yang telah dipersetujui sebelum ini, bagi merancakkan pelancongan, perdagangan dan pelaburan antara kedua-dua negara.

“Saya turut menyatakan penghargaan atas dukungan Rusia terhadap kerjasama tenaga bersama Malaysia. Kedua-dua negara mempunyai kekuatan dan kepakaran yang boleh digembleng untuk memperluas kerjasama dalam sektor strategik ini demi kepentingan bersama,” katanya.

Menurut Anwar, perbincangan mereka turut menyentuh mengenai peningkatan kemasukan minyak sawit Malaysia ke pasaran Rusia, di samping meneroka usaha untuk menggandakan nilai perdagangan Malaysia-Rusia.

“Yang lebih utama, setiap persetujuan yang dicapai mesti segera diterjemahkan kepada pelaksanaan.

“Justeru, saya mencadangkan penubuhan mekanisme khas antara Malaysia dan Rusia bagi menyelaras serta mempercepat pelaksanaan semua kesepakatan, dan cadangan ini telah dipersetujui oleh Presiden Putin,” ujarnya.

Anwar turut menyampaikan semula undangan Yang di-Pertuan Agong kepada Presiden Putin untuk mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia.

“Insya-Allah, lawatan ini kelak akan membuka lembaran baharu dalam hubungan Malaysia-Rusia yang semakin erat, matang dan saling menguntungkan,” katanya lagi.

Intipati
  • Anwar bertemu Putin di luar Sidang Kemuncak BRICS di New Delhi.
  • Pertemuan membincangkan penerbangan terus, perjalanan tanpa visa, tenaga, sawit dan perdagangan.
  • Anwar mencadangkan mekanisme khas bagi mempercepat pelaksanaan kesepakatan Malaysia-Rusia.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan