Kepala Berbau Sebab Kelemumur, Hilangkan Dengan 3 Cara Ini
Anda sudah tentu sentiasa dihurung rasa rimas seandainya kelemumur penuh di kepala. Setiap kali anda bergerak, pasti ada kepingan kelemumur yang jatuh di atas bahu atau baju.
Kelemumur tidak boleh dibuat main kerana boleh menjejaskan keyakinan dan menimbulkan rasa rendah diri. Anda juga mungkin berasa malu untuk bertemu dengan orang lain, takut dianggap tidak pandai jaga kebersihan kepala.
Selalunya, kelemumur biasa akan berkurangan dengan penjagaan dan pemilihan produk rambut yang betul. Namun, bagaimana pula dengan mereka yang mempunyai kelemumur teruk?
Bagi menjawab persoalan, Hello Doktor berkongsi cara untuk hilangkan kelemumur berkuping supaya kepala anda tidak berbau dan boleh berjalan dengan yakinnya.
3 cara hilangkan kelemumur teruk
Selalunya, kelemumur yang tidak serius boleh dirawat menggunakan syampu biasa.
Namun, sekiranya ia tidak hilang, syampu yang lebih kuat dan diformulasi khas untuk kelemumur mungkin dapat membantu.
Di bawah, kami terangkan cara hilangkan kelimumur yang boleh anda cuba:
1. Gunakan syampu yang mempunyai ubat
Ada beberapa jenis syampu berubat yang boleh anda beli di farmasi. Ada juga yang boleh didapati secara preskripsi. Antaranya:
- Syampu yang mengandungi pyrithione zinc: Bahan ini bersifat antibakteria dan antikulat
- Syampu berasaskan tar: Tar dapat memperlahankan pembentukan kelemumur. Walau bagaimanapun, sekiranya anda mempunyai rambut yang berwarna cerah, ia boleh menyebabkan warna rambut luntur
- Syampu yang mengandungi asid salisilik: Produk ini dapat membantu mengurangkan kelemumur dan mengurangkan kegatalan
- Syampu yang mengandungi selenium sulfida: Bahan ini bersifat antikulat, sesuai untuk mereka yang mempunyai masalah kelemumur
- Syampu ketoconazole: Syampu ini dapat mengurangkan kulat penyebab kelemumur yang tinggal pada kulit kepala.
- Syampu fluocinolone: Produk ini mengandungi kortikosteroid yang dapat mengawal kegatalan, masalah kelemumur dan iritasi

2. Aplikasikan syampu dengan betul
Selepas membeli syampu yang bersesuaian, anda perlulah urutkannya pada kulit kepala. Jangan urut dengan kasar.
Anda hanya akan membuatkan kulit kepala menjadi semakin gatal! Biarkan syampu di atas kulit kepala selama 5-10 minit. Kemudian, bilas seperti biasa.
Sekiranya syampu yang anda beli tidak sesuai, cuba cari syampu lain yang berkesan. Pakar menyarankan agar orang yang mempunyai kelemumur menggunakan 2 jenis syampu berbeza secara bergilir-gilir.
Sebagai contoh, gunakan syampu biasa pada hari Isnin dan Selasa. Kemudian, gunakan syampu kelemumur pada hari Rabu untuk elakkan kulit kepala kering.
3. Jumpa doktor untuk ambil ubat yang lebih kuat
Kadangkala, penggunaan syampu semata-mata tidak cukup untuk merawat kelemumur. Sekiranya cara hilangkan kelemumur yang anda lakukan setiap hari tidak berkesan, cuba jumpa doktor untuk rawatan.
Antara tanda-tanda kelemumur teruk ialah:
- Anda masih mempunyai kelemumur teruk walaupun sudah pakai syampu khas selama sebulan.
- Kulit kepala amat gatal sehingga mengganggu aktiviti harian.
- Kulit kepala memerah atau membengkak.
- Ada ruam atau kawasan kulit yang gatal pada bahagian badan yang lain.
Doktor mungkin akan:
- Membekalkan krim steroid, losyen atau larutan yang boleh anda sapu ke atas kulit kepala
- Anda juga mungkin akan dibekalkan dengan krim antikulat atau ubat yang boleh dimakan secara oral
- Doktor mungkin akan memberikan ubat berasaskan minyak yang boleh anda sapu pada kepala semalaman
Saya sudah cuba macam-macam cara hilangkan kelemumur teruk…
Sekiranya kelemumur di kepala anda tidak hilang-hilang, ia mungkin bukan kelemumur tetapi penyakit lain!
Antara penyakit yang boleh menyebabkan kulit kepala berkuping ialah:
- Ekzema: Satu kondisi yang menyebabkan kulit kepala gatal-gatal dan mengelupas
- Psoriasis: Penyakit yang menyebabkan kulit menjadi merah dan berkuping, termasuk kulit kepala
- Rosacea: Kondisi yang menyebabkan kulit wajah kemerah-merahan, namun ia juga boleh mempengaruhi kulit kepala
- Sekiranya kelemumur yang anda alami tidak sembuh, jumpa doktor secepat mungkin.
Walaupun ada banyak cara hilangkan kelemumur, namun bukan semuanya berkesan untuk anda. Justeru, dengan rawatan yang bersesuaian, anda boleh mengatasinya.
BACA: Isteri Pengendali Kapal Selam Titan Rupanya Keturunan Mangsa Kapal Karam Titanic
Sumber: Hello Doktor