SHAH ALAM, 26 Jun 2023 – Perlumbaan Antarabangsa Selangor (SIR) 2023 yang julung kali dianjurkan bermula di Bangunan Ibu Pejabat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) melakar sejarah kecemerlangan sukan berbasikal dengan mengukuhkan lagi kedudukan negeri Selangor sebagai pusat pelancongan sukan terkemuka. Lebih bermakna Raja Muda Selangor, Duli Yang Teramat Mulia Tengku Amir Shah Ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, sudi membuat pelepasan 1,000 peserta sejauh 145 kilometer dan acara VIP sejauh 18 kilometer yang disertai oleh CEO PKNS, Dato’ Mahmud Abbas, rakan korporat dan pasukan pengurusan kanan PKNS sebagai menunjukkan tanda sokongan mereka yang teguh terhadap perlumbaan dan komitmen mereka dalam mempromosikan Selangor sebagai destinasi sukan yang berkembang pesat.
Perlumbaan Antarabangsa Selangor 2023 mempamerkan bakat luar biasa pelumba dari 10 negara yang berbeza, termasuk Indonesia, Singapura, dan England, yang bertanding dalam pelbagai kategori umur; Lelaki Junior U18, Lelaki U23, Lelaki A, Lelaki B, Lelaki C, Lelaki ‘Heavyweight’, Wanita Terbuka, dan Wanita Master. Peserta dari pasukan berprestij Terengganu Polygon Cycling Team (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) turut menyertai dalam saingan yang sengit ini. Kepelbagaian kategori perlumbaan ini bukan sahaja membina persaingan yang sihat, malah menyediakan platform kepada pelumba untuk berinteraksi, bertukar pengalaman, dan memberi inspirasi antara satu sama lain.
Mohamad Nur Aiman bin Mohd Zariff dari pasukan TSG telah menjuarai kategori Keseluruhan Lelaki (Malaysia) manakala Yeong Zhen Yi dari pasukan BikeBaju menjuarai kategori Keseluruhan Wanita (Malaysia). Bagi kategori Keseluruhan Lelaki dan Wanita (Antarabangsa) pula dimenangi oleh Jersey Konosuke Nagashio dari pasukan Wiawis dan Sarah Tan dari Singapura. Masing-masing membawa pulang USD 1,000.00 & Plaque dan Jersi Pemenang.
Acara ini memainkan peranan penting dalam mendorong Selangor untuk menjadi hab sukan terkemuka di peringkat serantau. Melalui kerjasama strategik dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Belia Selangor, SIR 2023 mewujudkan kerjasama jangka panjang yang akan meningkatkan kedudukan Selangor dalam landskap sukan. Kejayaan gemilang acara ini telah membuka jalan bagi edisi-edisi akan datang Perlumbaan Antarabangsa Selangor, yang berpotensi menjadi acara tahunan dalam kalendar sukan negara.
Selain dari perlumbaan yang mengujakan, SIR 2023 memberikan impak positif kepada visi jangka panjang Selangor dalam pembangunan sukan di negeri ini. Menerusi pengenalan struktur jalan raya yang baik dan sokongan infrastruktur yang terjaga rapi kepada para pelumba, ia mendorong mereka untuk berlatih dan bertanding di negeri ini. Inisiatif ini mampu melatih budaya berbasikal dari akar umbi dan meletakkan Selangor sebagai destinasi yang ideal bagi para peminat sukan acara ini untuk meningkatkan kemahiran dan mencapai matlamat sukan mereka sebagai atlet.
“Perlumbaan Antarabangsa Selangor 2023 ini tidak mungkin dapat direalisasikan tanpa sokongan dan sumbangan yang tidak ternilai dari para penaja acara ini. PKNS mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Worldwide Holdings atas sumbangan mereka sebanyak RM50,000, serta kepada Decathlon, Hutan Ration, N8 Nutrition, BS Fitness, Inter Great Group of Companies, Minconsult, Central Spectrum, Kumpulan Hartanah Selangor Berhad, SACC, dan Koperasi PKNS Berhad. Komitmen mereka yang tidak berbelah bagi terhadap acara ini telah memberi kejayaan dan sumbangan yang besar dalam meletakkan Selangor sebagai hab pelancongan sukan yang berkembang pesat,” ujar Dato’ Mahmud.
Selain daripada perlumbaan yang mendebarkan, SIR 2023 telah memberikan pelbagai manfaat kepada komuniti tempatan. Penambahbaikan kepada struktur jalan telah meningkatkan infrastruktur serta memberi kemudahan bukan sahaja kepada pelumba tetapi juga penduduk setempat. Selain itu, menerusi acara ini, ia turut membantu tarif pelancongan negeri menerusi peningkatan kadar tempahan hotel, penginapan homestay, dan Airbnb yang secara tidak langsung membantu meningkatkan ekonomi tempatan. Pusat medan selera tempatan turut mendapat peningkatan jualan sepanjang hujung minggu yang mampu mempromosikan pelbagai hidangan unik di Selangor.
SIR 2023 memberi penanda aras penting kepada negeri Selangor untuk menjadi pusat pelancongan sukan yang terkemuka. Kejayaan luar biasa acara ini dan sokongan padu dari penaja dan peserta telah menetapkan landasan untuk edisi-edisi akan datang bagi perlumbaan berprestij ini. Selangor komited terhadap pembangunan sukan, melatih bakat tempatan, dan menganjurkan acara sukan antarabangsa bagi menunjukkan kebolehan dan mempamerkan daya tarikan Selangor kepada dunia.