Siakap Keli
menteri insiden kekecohan KLIA
Gambar: Bernama

Menteri Mengaku Terbabit Insiden Kekecohan Di KLIA, Dakwa Bongkar Budaya Rasuah Dalam Kalangan Pegawai

Menteri Mengaku Terbabit Insiden Kekecohan Di KLIA, Dakwa Bongkar Budaya Rasuah Dalam Kalangan Pegawai

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mengakui bahawa individu yang terbabit dalam insiden kekecohan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) baru-baru ini adalah dirinya.

Walau bagaimanapun, King Sing telah menepis tuduhan yang mendakwa beliau menuntut Jabatan Imigresen membebaskan pelawat dari China seperti yang tertular di media sosial.

Menurutnya, tujuan asal beliau hadir ke KLIA adalah untuk melakukan pemantauan sahaja.

Pun begitu, kehadirannya di situ telah membawa kepada pembongkaran budaya rasuah dalam kalangan pegawai di lapangan terbang.

“Saya bersyukur, kerana kehadiran saya telah membongkar satu peristiwa memalukan apabila wujudnya budaya rasuah dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa yang kronik di pintu masuk negara.

“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal, namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi, maka ini penjelasannya,” katanya.

Baca: “Terus Capai Red & Black,” Wan Chai Cuak Kena Ganggu Ketika Live, Tiba-Tiba Semua Member Lesap Diganggu ‘Makhluk Halus’?

Terdahulu, Sinar Harian ada melaporkan bahawa telah berlaku insiden kekecohan di balai ketibaan KLIA membabitkan individu dipercayai menteri yang cuba membebaskan seorang pelawat China yang ditahan pihak Imigresen pada Khamis.

Mengulas berkenaan perkara itu, beliau menegaskan bahawa dirinya tidak mempunyai kuasa untuk melakukan hal yang sedemikian.

Ujarnya, sekiranya perkara tersebut benar-benar berlaku, ia hanya akan menjejaskan reputasinya sebagai seorang menteri sahaja.

“Apa guna saya sebagai menteri sekiranya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakutkan pelancong asing?

“Jika kita tidak serius dalam isu ini, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan dan mungkinkah ada segelintir pegawai takut sekiranya perkara tersebut terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka?” soalnya.

Dalam pada itu, beliau turut dimaklumkan bahawa ada pegawai imigresen yang meminta duit kepada pelancong asing jika mahu dilepaskan.

Ujarnya, penguat kuasa tersebut telah meminta sehingga RM3,000 supaya pelawat berkenaan dikeluarkan dari tahanan termasuk tiket penerbangan pulang ke negara asal.

Tak hanya itu, RM3,000 juga bakal dikenakan sekiranya pelawat tersebut mahu pulang ke negara asal dengan segera menerusi ‘laluan khas’, manakala RM12,000 bagi memproses visa.

Tegasnya, semua maklumat yang telah diperoleh itu akan terus diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi siasatan dapat dijalankan di samping memulihkan imej negara khususnya di pintu masuk utama.

Sumber: Sinar Harian

Aqmal Ezany

I write what is right