Bekas Pegawai PTD Dipenjara Setahun Kerana Laku Amang Seksual Terhadap Pelajar Lelaki Di Bilik Air
PUTRAJAYA, 4 Julai (Bernama) — Seorang bekas pegawai tadbir dan diplomatik (PTD) dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Rayuan kerana melakukan amang seksual terhadap seorang pelajar lelaki berusia 13 tahun di bilik air asrama sebuah sekolah agama.
Lelaki itu diperintahkan oleh panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Hadhariah Syed Ismail supaya menjalani hukuman penjara itu bermula hari ini.
Lelaki berusia 36 tahun itu sebelum ini bebas dengan jaminan RM8,000 dan seorang penjamin sementara menunggu rayuannya selesai.
Dia gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan sabitannya tetapi berjaya mengurangkan hukuman penjara daripada enam tahun dan dua sebatan kepada penjara setahun.
Hakim Hadhariah, yang bersidang bersama Datuk Azman Abdullah dan Datuk Azmi Ariffin, berkata terdapat bukti kukuh untuk menyokong keputusan Mahkamah Tinggi mensabitkan Mohd Zarul atas kesalahan itu.
Hakim itu bagaimanapun berkata mahkamah bersetuju dengan peguam M.M Athimulan yang mewakili lelaki itu bahawa hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan adalah keterlaluan kerana tiada sebarang kekerasan atau kecederaan terhadap mangsa.
BACA: Wujud ‘Kacang Hantu’ Di JPN, Imigresen, Kata Ahmad Zahid
Pada 28 April 2021, Mahkamah Sesyen melepas dan membebaskan Mohd Zarul daripada pertuduhan melakukan amang seksual fizikal dengan menyentuh pergelangan tangan dan perut budak lelaki yang sedang mandi di bilik air asrama sekolah berkenaan di Kuantan, Pahang pada 3.10 petang, 23 Mac 2019.
Mahkamah Tinggi, pada 18 Jan 2022, membenarkan rayuan pihak pendakwaan dan mensabitkan kesalahan lelaki itu serta menjatuhkan hukuman penjara enam tahun dan dua sebatan. Lelaki itu kemudiannya merayu kepada Mahkamah Rayuan.
Dalam rayuan hari ini, Athimulan memohon mahkamah mengembalikan keputusan Mahkamah Sesyen kerana beliau berkata mahkamah itu (Mahkamah Sesyen) telah membebaskan anak guamnya memandangkan kejadian itu berlaku secara spontan dan bukan dengan niat.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Muhammad Azmi Mashud, yang dibantu oleh TPR Aida Khairuleen Azli berhujah bahawa keterangan lelaki itu bahawa dia tidak menyedari telah memasuki perkarangan sekolah kerana bermain permainan Pokemon Go di telefon bimbitnya, hanyalah penafian semata-mata.
Beliau berkata keterangan lelaki itu bahawa dia memasuki bilik air untuk mengambil bajunya dan secara tidak sengaja menyentuh perut mangsa juga adalah penafian semata-mata.
Sumber: BERNAMA