Siakap Keli
tips mandi sungai
Kredit: Bernama

Tengok Kesan Banjir & Cari “Escape Route”, 11 Tips Penting Jika Mandi-manda Di Sungai

Tengok Kesan Banjir & Cari “Escape Route”, 11 Tips Penting Jika Mandi-manda Di Sungai

Pada musim panas ini, bermandi-manda di sungai merupakan salah satu aktiviti riadah yang sering menjadi pilihan keluarga dan rakan-rakan.

Aliran air sungai yang berasal dari tempat tinggi sangat jernih dan nyaman sudah pasti memberikan pengalaman yang mengagumkan buat sesiapa yang merasainya.

Namun, ketika melakukan apa-apa aktiviti, kita tidak boleh mengabaikan langkah keselamatan dalam apa jua keadaan sekali pun.

Alasannya mudah sahaja, situasi tidak terduga lagi tidak diingini boleh berlaku sekelip mata, bak kata pepatah ‘malang tidak berbau’.

Bersesuaian dengan musim panas ini, seorang pengguna TikTok telah berkongsi 11 tips berguna kepada orang ramai ketika mengunjungi kawasan sungai.

Mohd Nor Fahmy (@mohdnorfahmy3) telah berkongsi tips keluarganya ketika berkelah dan mandi manda di kawasan sungai. Tips ini angat komprehensif  khususnya bagi sesiapa yang baru mengunjungi kawasan rekreasi tersebut buat kali pertama.

Berikut merupakan perkongsiannya.

Sebelum masuk ke dalam sungai

Jika ada orang tempatan, perniaga berdekatan atau pengunjung yang kerap mengunjungi kawasan tersebut, ringankan mulut untuk bertanya mengenai keadaan sungai tersebut seperti kekerapan kejadian kepala air dan sebagainya.

Mereka akan lebih teruja dan berbesar hati untuk memberikan maklumat tambahan mahupun tips keselamatan berkenaan tempat tersebut seperti titik bahaya dan lain-lain.

Lihat kawasan tebing sungai dan perhatikan kesan-kesan air pasang seperti ketinggian paras kenaikannya. Anda boleh mengenalpasti melalui kesan-kesan sisa daun yang tersangkut pada tebing sungai.  Hal ini boleh dilihat seperti satu paras garisan pada tebing sungai.

Anggarkan kedalaman sungai tersebut. Secara logiknya, jika air sungai tersebut berwarna agak gelap berbanding kawasan air sungai yang lain, bermakna kawasan tersebut memiliki kedalaman air yang agak tinggi.

Selain itu, jika terdapat batu-batu yang berwarna gelap, hal ini bermaksud bahawa batu-batu tersebut memiliki lumut di atas permukaannya dan bersifat licin. Anda dinasihatkan untuk memakan kasut ketika menjalani aktiviti di kawasan air sungai.

tips keselamatan mandi sungai
Gambar hiasan | Kredit: Bernama

Semasa berada di dalam sungai

Anda perlu mengenalpasti laluan untuk melepaskan diri (escape route), yang mana laluan yang paling cepat, selamat dan tinggi untuk menyelamatkan diri dalam situasi kecemasan.

Ketika berada di dalam sungai, pastikan anda menghadap arah aliran air sungai datang, ataupun hulu sungai. Ini dapat membantu anda melihat bahaya yang akan datang, sama ada kepala air, haiwan atau kayu-kayu tajam dalam aliran sungai .

Sebaik-baiknya, anda perlu membawa dan pakai wisel pada leher anda. Sekurang-kurangnya, jika anda ternampak bahaya, anda boleh meniup dan memaklumkan situasi tersebut terhadap orang ramai dengan segera.

Pada kawasan yang dipilih, pastikan anda mempunyai pandangan jelas keadaan sungai berkenaan, kira-kira 50-100 meter dari arah hulu sungai.

Bagi yang membawa anak-anak kecil, pastikan mereka berada dalam lingkungan capaian tangan anda. Hal ini kerana, kanak-kanak masih belum memiliki daya koordinasi yang mantap untuk meramal dan menanagi situasi bahaya di hadapan mereka.

Jangan terlalu memberikan kebebasan ketika berada di dalam sungai dan sentiasa perhatikan mereka.

Kalau keaadaan hulu sugai semakin gelap, air menjadi semakin berkeladak, daun-daun dalam air sungai semakin banyak serta berbuih sana-sini, sila naik ke tebing dengan segera. Tanda-tanda di atas menunjukkan bahawa keadaan air sungai semakin deras.

Sebaik-baiknya, sediakan pelampung ataupun tali ketika mengunjungi kawasan sungai. Dengan adanya peralatan-peralatan ini, sekurang-kurangnya dapat membantu usaha menyelamat pada fasa awal kecemasan.

tips keselamatan mandi sungai
Kredit: Bernama

Jika berhajat untuk memacak khemah atau meletakkan kerusi ‘healing’ pada tepi sungai, elakkan memilik kawasan tebing yang sama paras dengan air sungai.

Encik Mohd Fahmy turut menggalakkan pengunjung sungai untuk memakai pakaian cerah kerana usaha mencari dan menyelamat dapat dilakukan dengan mudah jika mangsa berpakaian warna cerah.

Pada akhir kenyataannya, dia memaklumkan bahawa tip-tip ini sering digunakan ketika dirinya beriadah bersama ahli keluarganya yang lain.

Walau bagaimanapun, pengunjung perlu mengutamakan arahan dari pihak berkuasa dan pakar dalam apa-apa situasi yang mendatang.

BACA: Bukan Saja-Saja, Begini Cara Kod Panggilan Setiap Negara Ditentukan

Sumber: @mohdnorfahmy3 via TikTok

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.