Utama
Pilihan Editor
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.
Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Ahmad Zahid Tolak Tanggapan MCA, MIC Boikot PRN
KUALA LUMPUR, 6 Julai (Bernama) — Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak tanggapan bahawa pendirian MCA dan MIC untuk tidak bertanding dalam pilihan raya negeri (PRN) di enam negeri bulan hadapan, merupakan satu tindakan boikot.
Timbalan Perdana Menteri berkata kedua-dua parti komponen itu telah menyatakan komitmen untuk membantu jentera BN di keenam-enam negeri.
“Saya tidak fikir ia bertujuan untuk melakukan pemboikotan,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, apabila ditanya sama ada MCA dan MIC memboikot PRN selepas melancarkan Pelan Pemformalan Usahawan Informal di sini hari ini.
Beliau berkata Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong sendiri menghubungi beliau malam tadi dan memberitahu bahawa MCA komited membantu semua jentera BN di enam negeri yang bakal menghadapi PRN.
Beliau berkata Dewan Tertinggi BN akan mengadakan mesyuarat pada 10 Julai depan untuk perbincangan koordinasi jentera dan mendapatkan pencerahan daripada MCA dan MIC.
Kepada soalan sama ada terdapat sebarang kerusi dalam PRN bulan depan yang diperuntukkan kepada MCA dan MIC, Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata terdapat kerusi telah diperuntukkan untuk mereka bertanding.
Semalam, MCA dan MIC mengumumkan tidak akan bertanding pada PRN Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu bulan hadapan, bagi menumpukan kepada persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu dijalankan secara serentak dengan 12 Ogos ditetapkan sebagai tarikh pengundian, manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.
BACA: Kenapa Abjad Papan Kekunci Disusun “QWERTY…”, Main Letak Atau Ada Sebabnya?
Sumber: Bernama