Segak Dengan Seragam Lengkap, Hasrat Adik Hidap Leukemia Nak Jadi Polis Tercapai
Seorang kanak-kanak lelaki yang menghidapi leukemia sejak beberapa bulan lalu diberi peluang untuk menjadi Pegawai Polis pada Jun lalu.
Menurut hantaran Facebook Polis Daerah Batu Gajah, adik Muhamad Wirdas Hafiy Bin Zhahrin Ain (10) telah lama menyimpan hasrat dan impian untuk menjadi pegawai polis.
Ketika diberi peluang untuk menjadi Pegawai Polis, adik Muhamad Wirdas Hafiy kelihatan sangat gembira dan bersyukur kerana berpeluang untuk menaiki kenderaan perondas polis MPV milik Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Hasrat adik hidap leukemia jadi polis tercapai
Lengkap berpakaian seragam polis, kanak-kanak tersebut telah menaiki kenderaan tersebut bersama keluarga di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Batu Gajah, Perak. Mereka juga sempat melawat kawasan sekitar bali polis berkenaan.
Adik Muhamad Wirdas Hafiy bersama keluarganya kemudian dibawa menaiki kereta tersebut meronda di sekitar kawasan Batu Gajah.
Mereka juga sempat singgah di sekolah adik Muhamad Wirdas Hafiy di SK Sultan Yusuf.
Dengan kerjasama dari Make- A- Wish Malaysia, impian murni adik Muhamad Wirdas Hafiy dapat dilunaskan
Untuk makluman, program tersebut merupakan hasil kerjasama bersama sebuah organisasi Make- A- Wish Malaysia. Organisasi global tersebut mula ditubuhkan di Arizona pada 1980.
Menariknya, kisah penubuhan Make-A-Wish Foundation dikatakan agak mirip dengan kisah adik Muhamad Wirdas Hafiy.
Kanak-kanak yang menjadi titik permulaan bagi organisasi ini, Chris Greicius merupakan seorang kanak-kanak penghidap leukemia.
Ketika kanak-kanak tersebut berumur tujuh tahun, dia ingin menjadi pegawai polis untuk melindungi dan menyelamat nyawa orang lain.
Chris tidak menyangka bahawa impiannya akan memberi inspirasi kepada penubuhan organisasi berkenaan yang akan mengubah berjuta-juta kehidupan di seluruh dunia.
Sehingga kini, objektif organisasi berkenaan adalah untuk menunaikan impian insan-insan yang terpilih menerusi program impian anak istimewa ini.
Sejak itu, organisasi itu telah menunaikan lebih 500,000 impian di seluruh dunia, untuk kanak-kanak yang sakit kritikal hampir di 50 buah negara.
Di Malaysia pula, Make-A-Wish Malaysia telah bekerjasama dengan hospital terpilih sejak 2010. Organisasi tersebut telah menunaikan impian kanak-kanak yang menghidapi penyakit kritikal di negara ini.
Pada akhir hantaran tersebut, pihak IPD Baru Gajah telah menitip pesanan dan harapan yang menyentuh jiwa buat kanak-kanak tersebut.
“Seluruh warga PDRM mendoakan kesihatan yang berpanjangan buat adik Muhamad Wirdas Hafiy dan semoga pengalaman menaiki kenderaan PDRM dan merasai menjadi seorang Pegawai Polis hari ini akan menjadi satu kenangan berharga buat adik!”
Sumber: Polis Daerah Batu Gajah via Facebook