Empat Kedai Terbakar Di Larkin Sentral, Tiada Kemalangan Jiwa Dilaporkan
JOHOR BAHRU — Pada pagi tadi, sebanyak empat kedai dilaporkan hangus selepas dijilat api dalam satu kebakaran di Larkin Sentral.
Memetik Sinar Harian, kejadian difahamkan berlaku sekitar jam 6.50 pagi tadi.
Menurut Komander Operasi Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan (PKPgB), Mohd Faiz Suleiman, seramai 27 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Larkin dan Tebrau telah dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran.

“Kebakaran melibatkan empat kedai terdiri daripada dua premis kedai buku yang terbakar 90 peratus, kedai minyak wangi terbakar 70 peratus dan kedai kosmetik dan herba terbakar 10 peratus.
“Operasi pemadaman masih berjalan ketika ini,” jelasnya dalam satu kenyataan.
Walau bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dan kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dalam insiden tersebut.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor Bahru turut memaklumkan perkara yang sama dalam satu hantaran di Facebook.
“Kejadian kebakaran yang telah berlaku pada jam 6.50 pagi tadi di Terminal Bas Larkin Sentral, Larkin.
“Tiada laporan kemalangan jiwa diterima,” maklum APM Johor Bahru dalam kenyataan tersebut.
Tambah agensi tersebut, anggotanya turut berada di tempat kejadian sebagai wakil dari Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Johor Bahru.
Perkara itu bagi memastikan segala laporan diterima kepada Pejabat Daerah Johor Bahru dengan kadar segera.
BACA JUGA: Benam KL City 2-0, JDT Muncul Juara Piala FA Edisi 2023
Untuk makluman, Larkin Sentral merupakan lokasi kepada terminal bas dan pasar awam serta premis perniagaan yang berada di tengah bandar raya Johor Bahru.
Pulau Batu Gajah Didakwa Terbakar
Terdahulu, tular di media sosial sebuah pulau dipercayai Pulau Batu Gajah yang terletak di Mersing, Johor didakwa terbakar.
Menurut laporan China Press, Ketua Polis Mersing, Abdul Razak Abdullah berkata pihaknya dan Balai Bomba dan Penyelamat Mersing telah bergegas ke tempat kejadian untuk tindakan lanjut.
Kejadian tersebut hanya disedari oleh penduduk tempatan selepas melihat gumpulan asap dari pulau berkenaan kira-kira jam 4 petang.