Siakap Keli
jdt juara piala FA
Gambar: MFL

Benam KL City 2-0, JDT Muncul Juara Piala FA Edisi 2023

Benam KL City 2-0, JDT Muncul Juara Piala FA Edisi 2023

JDT menepati ramalan apabila muncul sebagai juara Piala FA edisi 2023 selepas menundukkan Kuala Lumpur (KL) City, 2-0 sebentar tadi.

Beraksi di Stadium Sultan Ibrahim, aksi kedua-dua pasukan pada separuh masa pertama berjalan seimbang biarpun JDT lebih banyak menguasai perlawanan.

Usaha demi usaha yang dilakukan oleh para pemain JDT untuk mencari gol pembukaan bagaimanapun dibatasi oleh disiplin tinggi yang ditunjukkan oleh pemain KL City.

Menyedari rekod jaringan luar biasa yang dimiliki barisan serangan JDT, KL City dilihat bertahan secara sepasukan dengan sekurang-kurangnya lima orang pemain pertahanan.

JDT juara Piala FA, benam KL City 2-0

Malah, pemain-pemain di bahagian tengah dan serangan juga tidak memberikan terlalu banyak ruang kepada JDT untuk melakukan percubaan.

Dalam pada itu, sekali-sekala, KL City turut berjaya melancarkan serangan balas pantas ke arah gawang JDT dan menghadirkan ancaman kepada Syihan Hazmi.

Bagaimanapun, Syihan berjaya menampilkan aksi penyelamatan yang bergaya terutamanya ketika menggagalkan beberapa percubaan berbahaya KL City.

JDT kemudian berjaya berada di depan menerusi gol dijaringkan oleh penyerang kelahiran Brazil, Bergson yang menyambar bola muntah hasil percubaan Arif Aiman.

Sebelum itu, Arif Aiman menerusi pergerakkan menarik melakukan rembatan deras namun mengenai tiang gol dan bola melantun sebelum disambar Bergson.

Malangnya, penjaga garisan mengesan Bergson berada di kedudukan offside dan membatalkan jaringan tersebut. Kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan pada rehat separuh masa dengan kedudukan 0-0.

Bermula separuh masa kedua, JDT dilihat meningkat intensiti permainan dan terus menguasai perlawanan seawal permainan bermula.

Beberapa percubaan berbahaya dilancarkan ke arah gawang KL City, namun berjaya ditampan permainan pertahan lawan serta diselamatkan Kelvin Mendoza.

Sehinggalah pada minit ke-66, JDT berjaya mendapatkan gol pertama mereka menerusi rembatan cantik daripada luar kotak penalti oleh Hong Wan. Difahamkan, ia merupakan gol pertama untuk pemain itu sejak menyertai JDT.

Mendapat suntikan semangat menerusi gol berkenaan, JDT terus garang dan berjaya mendapatkan gol kedua menerusi Leandro Velázquez  pada minit ke-74.

Beliau menjaringkan gol tersebut menerusi situasi kelam-kabut yang berlaku di dalam kotak penalti KL City.

Tamat perlawanan, JDT berjaya menjulang Piala FA buat kali ketiga selepas melakukannya pada 2016 dan 2022.

BACA: Macam Ni, Mudah Tapi Ramai Alpa, Cara Tak Nak Bagi Sos Meleleh & Botol Comot

Sumber: Twitter

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma