Bendera Malaysia berkibar megah di Korea apabila Ahmad Harun atau lebih dikenali sebagai Haji Ahmad De La Temala, berjaya merangkul gelaran juara dalam acara Puta 70 Meter di 2026 Korea Ulsan World Traditional Archery Championship.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada Ahmad atas pencapaian itu.
Menurutnya menerusi Facebook, kejayaan Ahmad menewaskan wakil Mongolia, Ganzorig Bat-Erdene, dalam aksi akhir merupakan pencapaian yang amat membanggakan, bukan sahaja buat diri dan keluarga beliau, malah untuk seluruh rakyat Terengganu serta Malaysia.
Kejayaan anak jati Terengganu angkat warisan memanah tradisional
“Bermula dari Kampung Temala dan kini menetap di Rusila, Marang, beliau membuktikan bahawa anak negeri ini juga mampu bersaing dan mencipta kejayaaan di peringkat antarabangsa,” tulisnya.

Lebih bermakna, kejayaan luar biasa ini turut menjadi medium penting dalam mengangkat seni memanah tradisional sebagai satu warisan, sekali gus membuktikan bahawa seni warisan ini mampu terus dipelihara dan mendapat tempat di pentas dunia.
Ahmad Samsuri titip harapan buat generasi muda
Dalam perkongsian yang sama, Ahmad Samsuri turut menitipkan harapan agar pencapaian tersebut menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus mengasah bakat, memelihara warisan serta berani meletakkan cita-cita setinggi mungkin.


