Saban hari kita masih menantikan saat langit kembali cerah seperti sedia kala, tanpa ‘kehadiran’ jerebu yang menyesakkan nafas.
Sudah berminggu-minggu tingkap rumah tidak dibuka dan setiap kali keluar perlu memakai pelitup muka.
Malah aktiviti di luar rumah juga terpaksa dihadkan demi menjaga kesihatan.
Langit cerah tanpa jerebu
Susulan itu, perkongsian beberapa pengguna Threads yang memaparkan langit biru di Terengganu nyata mengundang perhatian ramai, dengan rata-ratanya meluahkan rasa rindu untuk kembali menikmati pemandangan langit yang cerah tanpa diselubungi jerebu.
Salah seorang darinya, @didianne_frenzaa, berkongsi gambar yang memaparkan keadaan langit yang cerah di negeri tersebut.
“Langit Terengganu tanpa jerebu hari ini.. hujan rahmat setiap petang. Bersyukurnya ya Allah,” katanya.
Sementara itu, @aazmeeriskndr juga meluahkan rasa syukur kerana jerebu sudah menghilang pada hari ini.
“Alhamdulillah Terengganu dah pulih. Rezeki solo camping malam tadi, cuaca cantik, langit cerah, jerebu hilang, sunrise cantik gila serious rindu langit macam ni,” ujarnya.
Manakala, @aiman.hafiz18 pula berkongsi video yang memaparkan keindahan Pantai Pandak, Chendering, 'berbumbungkan' langit cerah.
Selain itu, ada yang berkongsi pemandangan di sekitar Jambatan Angkat Kuala Terengganu.

Perkongsian tersebut antara yang menarik perhatian pengguna media sosial yang merindukan suasana langit cerah tanpa jerebu.
Dalam perkongsian berasingan, @cikdiiyaa, berkata gambar dan video tersebut boleh 'mengundang' satu Semenanjung untuk ke Terengganu hujung minggu ini.
“Korang yang kongsi Terengganu punya langit pagi ni, memang mengundang kami semua satu semenanjung pi sana hujung minggu ni ke?
“Kami dah lama tak nampak awan, langit biru ni,” katanya.
Semoga jerebu segera menghilang sepenuhnya dan seluruh negara dapat menikmati langit cerah nan membiru seperti sediakala.
