Kru RARETV Dan Orang Ramai Beri Penghargaan Terakhir Buat Akhmal Asyraf, Imbau Semula ..... Allahyarham
Pemergian pengacara RARETV, Akhmal Asyraf atau lebih dikenali sebagai Kapten AA, nyata meninggalkan kesan kepada ramai pengikut yang selama ini mengikuti perkongsian dan pengembaraannya.
Sejak berita pemergiannya tersebar, media sosial dipenuhi dengan pelbagai luahan hati, ucapan penghargaan dan kenangan daripada netizen yang mengakui tersentuh dengan kandungan serta kebaikan Allahyarham.
Penghargaan Terakhir Buat Akhmal Asyraf

Sudah tentu, antara yang paling terkesan ialah rakan-rakan rapat dan kru RARETV yang selama ini banyak bekerja bersama-sama dengan Allahyarham.
Editor RARETV, Ilyas Farhan, mengakui pemergian Kapten AA merupakan antara titik terendah bukan sahaja buat dirinya, malah seluruh editor di RARETV.
“Titik terendah buat kami sebagai editor di bawah seliaan Kapten AA apabila menerima berita begini. Kami, pasukan RARETV, berdukacita atas pemergian Kapten AA yang telah kembali ke rahmatullah pada jam 6.58 malam waktu Oman.
“Malam yang mulia, yang penuh barokah. Innalillahi wa inna ilaihi raji'un. Al-Fatihah. Tunggu Paan jumpa ayah di negeri abadi nanti ya, ayah AA,” kata Ilyas.
Menerusi hantaran seterusnya, Ilyas turut meluahkan betapa sukarnya untuk membayangkan dirinya dan editor lain perlu menyunting rakaman kembara yang memaparkan wajah Allahyarham.
“Now pukul 3.17 pagi saya masih di depan monitor. Saya tak mampu nak mulakan cutting. Hanya mampu play video back and forth.
“Tapi ini adalah amanah dan tanggungjawab kami kepada kalian sebagai penonton dan peminat RARETV,” ujarnya.
Seorang lagi kru RARETV, Muhammad Ishak, menerusi satu hantaran di Facebook pula tidak menulis panjang.
Sebaliknya, beliau hanya berkongsi beberapa foto mereka berdua serta menitipkan ucapan terima kasih atas segala tunjuk ajar yang diberikan Allahyarham sepanjang mereka bekerja bersama.
“Husnul Khatimah Ayah AA. Terima kasih segala ilmu yang ayah ajarkan kepada Ishak,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi rakannya, Syibli Fakih turut meluahakn sebak dan menyifatkan pemergiannya terlalu cepat.
“Akhmal Asyraf terlalu cepat sahabat kau pergi. Terlalu cepat.. Tangan aku masih menggigil, air mata aku masih mengalir. Begitu sayangnya Allah SWT pada kau.
“Aku titipkan foto-foto kita di sini untuk kenangan kita bersama. Tidak ada apa-apa yang nak di kata tentang dirimu melainkan yang baik-baik sahaja.. Pulang mu ke pencipta, ke negeri abadi.
“Doa kami bersama kau sahabat. Doa kami ada, ya ﷲ rahmati dan cucuri lah rahmat ke Allahyarham Akhmal Asyraf.
“Syurgalah untuk mu sahabat. Keluargamu, anak-anakmu kami akan jaga seperti keluarga kami juga,” luahnya.
Bukan rakan-rakan sekerja sahaja yang berkongsi rasa sebak, malah peminat dan penonton RARETV juga tidak putus-putus menitipkan penghormatan terakhir buat Allahyarham.
Antaranya, pengguna Threads, @aisyahanimm, berkata Allahyarham bukan sahaja berkongsi keindahan ciptaan Allah SWT menerusi kandungannya di RARETV, malah turut membantu ramai orang termasuk dirinya untuk meneruskan perjalanan hidup.
Sementara itu, seorang lagi pengguna Threads, @m.aimnysf, mengakui masih terkesan dengan pemergian Kapten AA.
“Saya masih terkesan dengan pemergian Kapten AA. Beliau sangat mencintai apa yang dilakukannya. Segala tindakannya mencerminkan nilai-nilai Islam.
“Beliau meninggal dunia pada malam Jumaat, di sebuah laluan yang menyaksikan sejarah Islam tercipta. Beliau juga meninggalkan rezeki yang mencukupi buat keluarganya.
“Perginya pada usia yang masih muda. Inilah antara bentuk pengakhiran hidup yang paling kita impikan, gugur ketika memperjuangkan kalimah Allah.
“Sesungguhnya, beliau seorang insan yang kisah hidupnya wajar diceritakan kepada semua. Al-Fatihah, saudaraku,” katanya.
Pengguna Threads, @daissy_bxx, pula berkata dia tidak dapat melelapkan mata selepas mendapat tahu berita pemergian Allahyarham kerana terlalu terkesan dengan berita tersebut.
“Saya nak tidur ni, terkebil-kebil pandang siling. Tak tahulah kenapa. Walaupun saya tak kenal dia secara peribadi, tapi rasa terkesan betul dengan berita Kapten AA meninggal.
“Saya rasa saya tak boleh tonton RARETV buat sementara ini. Takkan sama dah. Hidup memang pendek kan? Saya doakan saya dan keluarga saya dapat pengakhiran yang baik macam Kapten AA,” luahnya.
Sementara itu, seorang kakitangan Rumah Pengasih Warga Prihatin (RPWP), @azizool_yuslan, berkongsi bahawa Allahyarham akan dikebumikan di Lenggeng, Seremban.
Salam takziah buat keluarga Allahyarham, semoga rohnya ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman.

