Pengacara RARETV, Akhmal Asyraf meninggal dunia pada jam 6.58 petang waktu Oman.
Berita duka itu disahkan oleh adiknya, Amal Mohd di Threads sebentar tadi.
Adik kongsi berita Akhmal Asyraf meninggal dunia
“Allah lagi sayang Along kami. Kami semua reda, Along. Jangan risau, isteri dan anak-anak Along akan berada dalam jagaan yang baik.
“Masih tak percaya satu-satunya abang yang kami ada di dunia ini, yang kami membesar bersama, gelak, marah, sedih dan macam-macam lagi dah tak ada.
“Along macam tengah tidur je tadi, macam yang kitorang selalu gelakkan sebelum ni. Cara tidur yang diwarisi anak-anak dan anak buah Along.
“Along selalu penat kan? Sekarang Along boleh berehat dengan tenang, abang kesayangan kami,” katanya.
Sementara itu Saiful Nang turut berkongsi berita pilu itu menerusi hantaran di Threads beliau.
Menurutnya, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.58 petang iaitu selepas waktu Maghrib di Muscat.
“Arwah baik orangnya,” ujarnya.
Terdahulu, Allahyarham dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan selepas mengalami jangkitan paru-paru.
Sebelum disahkan menghidap jangkitan paru-paru, Allahyarham mengalami demam.
Beliau juga telah dimasukkan ke Hospital Nizwa sebelum dipindahkan ke Hospital Badr Al Samaa Royal di Muscat untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Salam takziah untuk keluarga Allahyarham, semoga rohnya dicucuri rahmat.
