Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Stephanie Case Cipta Sejarah, Jadi Wanita Pertama Berjaya Berlari Sejauh 100 Batu di Antartika

Stephanie Case
Kredit: The North Face

Pelari ultramaraton, Stephanie Case mencipta sejarah apabila menjadi wanita pertama berjaya menamatkan perlumbaan ekstrem sejauh 100 batu di Antartika.

Iklan

Perlumbaan Antarctic Ice Ultra itu melibatkan 38 pusingan bagi laluan sepanjang 4.2 kilometer di kawasan Schirmacher Oasis, Queen Maud Land, Antartika Timur.

Wanita berusia 43 tahun itu berlari bersama sekumpulan penguin dan berdepan angin kencang serta suhu serendah -35 darjah Celsius, iaitu suhu paling sejuk pernah direkodkan oleh pihak penganjur.

Beliau berjaya melintasi garisan penamat di tempat kedua keseluruhan dengan catatan masa 17 jam, 31 minit dan 39 saat.

Kredit: Instagram Stephanie Case

Disebabkan keadaan cuaca yang ekstrem, perlumbaan diawalkan dan bermula pada jam 1 pagi Ahad.

Case berkata bahawa cabaran tersebut bukan sekadar menguji prestasi fizikalnya, malah turut melibatkan usaha untuk terus bertahan dalam keadaan cuaca yang mengancam keselamatan.

“Apabila anda berada dalam persekitaran seperti itu selama 20 minit, ia masih boleh diterima. Namun, apabila anda berada di situ selama 17 jam atau lebih, keadaan itu boleh memberi kesan besar kepada tubuh kerana anda perlu menggunakan begitu banyak tenaga hanya untuk memastikan badan kekal panas,

“Perkara penting ialah anda perlu berlari dengan pantas, tetapi pada masa sama perlu memastikan badan tidak berpeluh. Ini kerana jika anda berpeluh, ia boleh membawa padah. Badan anda akan menjadi sejuk serta-merta.” kata Case kepada BBC Sport.

Pergi ke tandas merupakan cabaran sebenar

Kredit: Instagram Stephanie Case

Keadaan perlumbaan yang amat mencabar di benua yang mengalami siang selama 24 jam itu menyebabkan hanya sebilangan kecil individu berani menyertainya setiap tahun, manakala lebih sedikit berjaya menamatkannya.

Pada tahun ini, hanya empat daripada lapan pelari yang memulakan perlumbaan sejauh 100 batu itu berjaya sampai ke garisan penamat.

Sebelum ini, perlumbaan berkenaan hanya pernah disertai lelaki. Case merupakan salah seorang daripada tiga wanita yang memulakan perlumbaan, namun pelari dari Kanada itu menjadi satu-satunya wanita yang berjaya menamatkannya.

Bagaimanapun, satu cabaran yang tidak pernah dijangka oleh Case, yang menggelarkan dirinya sebagai kambing gunung kerana gemar mendaki dan berlari di kawasan berbukit, ialah menguruskan keperluan ke tandas dalam suhu yang terlalu sejuk.

“Ketika berlari di laluan denai, biasanya anda boleh sahaja membuang air di kawasan hutan. Namun, atas faktor keselamatan bio, anda tidak dibenarkan meninggalkan sebarang kesan di Antartika.

“Selain itu, untuk pergi ke tandas ketika memakai begitu banyak lapisan pakaian, malah menanggalkan sarung tangan selama lima saat sahaja boleh menyebabkan tangan berisiko mengalami radang dingin (frostbite), sememangnya satu cabaran besar,

“Persekitaran di sini sangat keras dan pelbagai perkara boleh berlaku dengan begitu pantas. Saya benar-benar berasa lega apabila berjaya melintasi garisan penamat kerana akhirnya saya berjaya melakukannya. Segala emosi seolah-olah meluap ketika itu.” ujarnya lagi.

Peguam hak asasi manusia itu menamatkan perlumbaan 29 minit selepas pelari dari China, Yusheng Ni, yang berjaya memecahkan rekod dunia miliknya sendiri yang dicatatkan pada tahun lalu dengan perbezaan masa lebih lima jam setengah.

Selain mencipta sejarah, Case turut menyasarkan untuk memecahkan rekod dunia.

Bagaimanapun, beliau menyedari bahawa persaingan dengan Ni, yang telah menyertai lebih daripada 500 perlumbaan ultramaraton, bukanlah sesuatu yang mudah.

“Ada beberapa bahagian perlumbaan apabila saya hanya ketinggalan 60 saat daripadanya, malah ada kalanya saya berada kira-kira 200 meter di belakangnya. Persaingan itu memang sengit.

“Namun, setiap kali dia melihat saya semakin menghampiri, dia akan menoleh ke belakang sebelum terus memecut. Saya rasa kami saling mendorong antara satu sama lain untuk memberikan prestasi terbaik. Saya sangat bangga dengan pencapaian saya,” tambahnya.

Sumber:BBC Sport
Intipati
  • Stephanie Case menjadi wanita pertama menamatkan perlumbaan 100 batu Antarctic Ice Ultra.
  • Beliau mencatat masa 17 jam, 31 minit dan 39 saat di tempat kedua.
  • Hanya empat daripada lapan pelari berjaya menamatkan perlumbaan ekstrem itu tahun ini.

Bahagian ini dijana AI dan mungkin mengandungi kesilapan. Lapor kesilapan