Majlis Kahwin Makin Dekat, Ubai Sebak Ibu Tinggalkan Pesan Sebelum Ditidurkan
Pempengaruh dan penerbit kandungan, Ubai tidak dapat menahan sebak setelah ibunya, Rohani Jamal menyampaikan pesanan yang menyentuh hati sebelum ditidurkan, lapor Astro Gempak.
Ibu Ubai Ditidurkan
Difahamkan, ibunya ditidurkan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di ibu negara pada Isnin.
Jelas Ubai atau nama sebenarnya Muhammad Ubaidillah Mohd Zulkefli, 25, ibunya memberitahu perkahwinannya bersama penyanyi tanah air, Shila Amzah perlu diteruskan seperti biasa pada bulan depan walau apa pun yang terjadi.

“Ibu ditidurkan bagi mengurangkan rasa sakit yang ditanggung. Semalam sebelum dia ditidurkan, dia pesan suruh saya menjaga diri dan adik dengan baik.
“Malah ibu pesan lagi apa pun jadi pada dia…dia mahu majlis perkahwinan kami perlu diteruskan seperti dirancang. Saya sedih dan menangis bila dia berkata begitu.
“Saya paling rapat dengan ibu, jadi kami banyak berkongsi cerita bersama. Lagipun, dia orang paling teruja dan gembira bila dapat tahu saya dan Shila hendak berkahwin,” ujarnya kepada Astro Gempak.
Ubai berkongsi kisah itu sewaktu berada di hospital bagi menemani ibu tercinta.
BACA JUGA: Shuib Akhirnya Bertemu Dengan Adik Miza, Luah Rasa Rindu Pada Arwah Siti Sarah
Tambahnya, dia kini sentiasa berjaga-jaga dengan sebarang kemungkinan terhadap tahap kesihatan ibunya yang menghidap kanser ovari tahap tiga.
Pempengaruh itu juga memaklumkan bahawa dia bergelut dalam melakukan persiapan perkahwinan di samping menjaga ibunya yang berada di hospital.

“Mental saya juga terganggu.. saya jadi ‘lost’… majlis pun semakin dekat dan lihat keadaan ibu begini.
“Saya harap ibu kuat dan dapat melawan penyakit. Doktor juga beritahu akan melakukan yang terbaik untuk kesihatan ibunya,” katanya lagi.
Pada 8 Julai lalu, Rohani Jamal telah dimasukkan ke PPUM selepas mengalami pendarahan pada bahagian rahim.
Sementara itu, pada Januari lalu, ibunya juga telah menjalani pembedahan bagi membuang ovari susulan disahkan menghidap kanser tersebut.
Terdahulu, Ubai dan Shila Amzah mengikat tali pertunangan pada 27 Mei lalu dan dijangka akan melangsungkan majlis perkahwinan pada bulan hadapan.
Sumber: Astro Gempak