Siakap Keli

Sunlight Malaysia Perkasa Wanita B40 Kejar Impian Keusahawanan Menerusi Program Tangan-Tangan Terer Pertama

Sunlight Malaysia taja sepuluh wanita B40 menyertai program #IbuDigital dengan kerjasama Ibupreneur Malaysia, disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, untuk meningkatkan kemahiran dan mengejar impian keusahawanan mereka

KUALA LUMPUR, 25 JULAI 2023 – 63 peratus wanita di Malaysia mengorbankan peluang pekerjaan mereka demi komitmen terhadap rumah tangga dan tanggungjawab keluarga. Statistik daripada tinjauan pendapat yang dijalankan pada 2019 ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat perlu menghentikan stereotaip generasi, sebaliknya menghulurkan sokongan terhadap wanita supaya mereka berpeluang mengejar cita-cita dalam keusahawanan serta menyara keluarga.

Sunlight Malaysia, (jenama penjagaan rumah di bawah Unilever), terus memperjuangkan hak wanita untuk tidak dibatasi oleh tanggungjawab rumah tangga dan bebas mengejar impian mereka. Sunlight Malaysia turut mendefinisikan matlamatnya dengan membantu menyerlahkan kehebatan terselindung wanita dalam masyarakat.

“Sama seperti Sunlight, ‘setitik sudah cukup’ untuk pengalaman mencuci pinggan mangkuk bebas minyak, kami menggalakkan wanita untuk #JadiLebihLagi. Sunlight meringankan tanggungjawab rumah tangga agar mereka mempunyai lebih banyak masa untuk mengejar cita-cita dan merealisasikan potensi diri,” kata Ketua Bahagian Penjagaan Rumah Unilever Malaysia dan Singapura, Hong Ee Fen.

Seperti yang dipraktikkan secara global, Sunlight Malaysia sentiasa meraikan wanita yang mengejar cita-cita mereka dan menyokong keusahawanan wanita melalui pelbagai program pendidikan.

Di Malaysia, Sunlight hari ini memperkenalkan program Tangan Tangan Terer, dengan kerjasama Ibupreneur Malaysia, dimana Sunlight akan menaja sepuluh bakal usahawan wanita untuk menyertai program #IbuDigital. Melalui inisiatif ini, Sunlight Malaysia berharap untuk memperluaskan peluang wanita B40 untuk melengkapkan diri dengan pengetahuan serta kemahiran untuk mencapai impian keusahawanan masing-masing.

Program Tangan Tangan Terer yang julung kalinya diadakan ini disokong oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kami percaya apabila wanita diberi peluang yang sama untuk berkembang maju, hasilnya, mereka akan dapat menyumbang kembali dengan lebih baik kepada keluarga dan rumah tangga mereka. Oleh itu, kami amat menghargai Sunlight Malaysia kerana member peluang kepada wanita B40 dalam usaha pemerkasaan ekonomi dan peningkatan kemahiran.

“Diharap lebih banyak lagi inisiatif sebegini dilaksanakan pada masa hadapan,” kata Datuk Sri Nancy binti Shukri, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Memperkasakan Wanita B40 Untuk Percaya Bahawa Mereka Mampu Jadi Lebih Lagi

Menerusi program Tangan Tangan Terer, sepuluh wanita B40 di seluruh Malaysia akan dipilih untuk menerima dana bernilai RM30,000 daripada Sunlight Malaysia untuk menyertai program #IbuDigital. Ini adalah langkah pertama bagi mereka menuju ke arah merealisasikan impian keusahawanan, kebebasan kewangan dan kehidupan yang mampan.

“Stereotaip generasi dan norma masyarakat menganggap wanita sebagai pengasuh yang harus meletakkan keperluan serta penjagaan keluarga dan rumah tangga melebihi diri sendiri. Ini telah menyebabkan impian mereka tertangguh dan gagal meneroka potensi diri.

“Melalui inisiatif ini, kami harap kaum wanita akan percaya sepenuhnya bahawa mereka mampu melakukan lebih banyak lagi; tangan yang sama bertungkus-lumus menjaga orang tersayang juga boleh memenuhi impian sendiri. Justeru itu, kami berharap wanita yang terpilih menyertai program ini akan diperkasakan supaya dapat mencapai matlamat dan impian keusahawanan mereka serta memberi inspirasi kepada orang lain untuk melakukan perkara yang sama,” ujar Hong Ee Fen.

Modul #IbuDigital mengandungi sepuluh kursus dan akan berlangsung selama tempoh dua bulan. Program ini bertujuan untuk melengkapkan peserta dengan pengetahuan keusahawanan mikro melalui bengkel latihan peningkatan kemahiran secara praktikal dengan pakar industri. Modul meliputi aspek pembangunan produk, pemasaran digital, pengurusan kewangan, undang-undang dan jualan, serta pelbagai lagi.

​Panggilan Penyertaan

Dari 25 Julai hingga 30 September 2023, Sunlight Malaysia menjemput semua wanita B40 Malaysia untuk mendaftar minat mereka dan berpeluang menyertai program Tangan Tangan Terer bagi meraih pengalaman yang bakal mengubah kehidupan serta meningkatkan kemahiran demi menambahbaikkan keluarga dan komuniti mereka. Sepuluh finalis akan dipilih pada suku keempat 2023.

Untuk maklumat lanjut dan menghantar penyertaan, sila layari https://www.ulmysg.com/SunlightTanganTanganTerer.

Amira

Love yourself.