Siakap Keli
mohon car seat kerajaan
Kredit: The Asian Parent

Percuma Je, Ini Cara Untuk Mohon Dan Tebus Car Seat Bayi Dari Kerajaan

Percuma Je, Ini Cara Untuk Mohon Dan Tebus Car Seat Bayi Dari Kerajaan

Sebagai ibu bapa, adalah penting untuk memastikan keselamatan anak-anak terjamin ketika menaiki kenderaan untuk menuju sesuatu destinasi, tidak kira pada jarak dekat atau jauh.

Susulan itu, kerajaan telah mengambil inisiatif iaitu mewajibkan penggunaan kerusi keselamatan kanak-kanak yang juga dikenali sebagai Child Restraint System (CRS) bagi mengelakkan berlaku sebarang kecederaan kepada golongan itu.

Pun begitu, terdapat sejumlah ibu bapa yang tidak meletakkan kepentingan untuk memiliki car seat untuk anak-anak mereka, kerana terdapat kekangan yang tidak boleh dielakkan.

Jangan tak tahu, sebenarnya ibu bapa layak menerima car seat percuma daripada kerajaan dengan mengikut syarat yang ditetapkan!

Insentif MyCRS 2023

Satu program insentif kerusi keselamatan kanak-kanak (MyCRS) yang dijalankan kerajaan adalah program insentif pembelian car seat kepada golongan B40 dan M40.

Program itu diwujudkan kerana mahu meningkatkan kadar keselamatan kanak-kanak semasa menaiki kenderaan.

Untuk pengetahuan, pemohon yang layak menerima insentif itu adalah mereka daripada kategori pendapatan isi rumah B40 dan M40.

Pemohon mestilah mempunyai anak yang berusia kurang daripada 12 tahun termasuk ibu yang sedang mengandung dan paling penting sekali ialah warganegara Malaysia.

Semakan kelayakan boleh dibuat melalui laman web MyCRS (www.mycrs.gov.my), bermula 19 Jun 2023 sehingga 30 September 2023.

Sekiranya anda layak untuk menebus car seat daripada program ini, ini cara mudah untuk memohon!

Cara memohon insentif MyCRS 2023

1. Bagi mereka yang belum pernah memohon, anda boleh membuat permohonan baharu di laman sesawang MyCRS (www.mycrs.gov.my).

2. Pilih ‘Daftar Permohonan’ dan permohonan boleh dibuat bermula 1 Julai 2023 hingga 15 September 2023 (semakan kelayakan adalah selepas satu minggu dari tarikh pemohon mendaftar).

3. Tebus car seat di mana-mana kedai bayi yang telah berdaftar yang boleh disemak di laman web MyCRS (www.mycrs.gov.my) di bawah ‘Senarai Wakil Penjual’.

4. Sebelum pergi ke kedai, sediakan dokumen yang diperlukan semasa penebusan (penting):

i. Salinan kad pengenalan

ii. Sijil lahir anak yang berusia kurang daripada 12 tahun ATAU

iii. Buku rekod kesihatan ibu mengandung atau buku pink, buat mereka yang masih mengandung.

BACA: Pemandu Tak Sedar Pintu Kereta Terbuka, Bayi Dalam Carseat Melayang Tercampak Atas Jalan Di Selekoh

Percuma untuk pembelian CRS RM150 dan ke bawah

Semestinya ramai yang tertanya-tanya mengenai jumlah yang disediakan oleh kerajaan bagi insentif ini.

Setiap seorang hanya layak menebus sekali untuk satu isi rumah dan sekiranya penerima membeli CRS berjumlah RM150 dan ke bawah, ia boleh dibeli secara percuma.

Manakala, bagi car seat yang berharga RM150 ke atas, bayaran tambahan perlu dibuat oleh penerima insentif.

CRS hanya diberikan secara percuma sekiranya penerima insentif memilih car seat kurang daripada RM150. Jangan keliru tau!

Tempoh penebusan insentif MyCRS 2023 adalah sehingga 30 September 2023 atau sehingga peruntukan RM12 juta habis ditebus.  

Untuk maklumat lanjut layari laman web MyCRS dan pilih ‘Soalan Lazim’ (http://www.mycrs.gov.my/include/FAQ.pdf). Selamat menebus!

Sumber: Mycyrs

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.