Siakap Keli
bekas pemain bola sepak pecah rumah
Kredit: BERNAMA

Bekas Pemain Bola Sepak Hadapi Tuduhan Pecah Rumah, Simpan Barang Curi

Bekas Pemain Bola Sepak Hadapi Tuduhan Pecah Rumah, Simpan Barang Curi

PONTIAN, 30 Julai (Bernama) — Seorang bekas pemain bola sepak Liga Super dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membabitkan pecah rumah dan menyimpan harta curi.

Tertuduh, 33, mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Nur Azzuin Abdul Moati.

Beliau didakwa bersama dua rakan yang masih bebas memecah masuk rumah milik Neo Kong Yiew di Lorong 8, Taman Benut Utama dekat sini, bagi maksud mencuri pada12.05 tengah hari, 8 Jun lepas.

Tertuduh turut didakwa bersama tertuduh kedua, 31, dan tertuduh ketiga, 24, melakukan pecah rumah dengan niat mencuri harta benda milik See Chai Lian di Taman Cendana, Benut, dekat sini, kira-kira 1.15 tengah hari pada 3 Julai lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 14 tahun dan bagi mana-mana satu kesalahan dilakukan kali kedua atau yang kemudian, dikenakan denda atau sebat.

Tertuduh kedua dan tertuduh ketiga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Tertuduh juga didakwa atas pertuduhan menyimpan harta curi iaitu sebuah telefon bimbit yang mempunyai kad sim milik See Chai Lian, di Jeti Nelayan Ayer Baloi, dekat sini, pada 4.30 petang, 3 Julai 2023.

Selain itu, tertuduh ketiga dituduh menerima harta curi antaranya beg dompet jenama Fossil, dua keping tiket kapal terbang Vietnam Airlines atas nama Tree Ching Beng dan sejumlah wang kertas mata wang Korea Selatan.

Dia yang didakwa melakukan perbuatan itu di tepi jalan Jalan Batu Pahat-Sanglang dekat Ayer Baloi, dekat sini, 1.30 tengah hari hari sama, mengaku tidak bersalah.

BACA: Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Bola Sepak Pasukan Ternama Ditahan

Timbalan Pendakwa Raya Nurezzati Zaini menawarkan jaminan RM12,000 untuk setiap pertuduhan namun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon ia dikurangkan kerana mereka menanggung keluarga.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin, selain mereka diarahkan melapor diri di balai polis berdekatan sebulan sekali.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 30 Ogos ini.

Awal bulan ini, polis menumpaskan ‘Geng Eddy’ dianggotai lima lelaki tempatan termasuk seorang bekas pemain bola sepak yang aktif dalam kegiatan pecah rumah di daerah ini, Batu Pahat, Muar dan Tangkak sejak Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Pontian Superintenden Mohammad Shofee Tayib berkata dengan penangkapan kesemua suspek berusia 24 hingga 34 tahun itu, polis berjaya menyelesaikan 13 kes pecah rumah dengan kerugian dianggarkan mencecah RM350,000.

Sumber: BERNAMA

Nurhanis

Mungkin tidak lagi menjadi penulis, tetapi jejakku masih di sini

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.