Siakap Keli
Bekas pemain bola sepak pecah rumah
Kredit Sinar Harian

Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Bola Sepak Pasukan Ternama Ditahan

Disyaki Terlibat Kes Pecah Rumah, Bekas Pemain Bola Sepak Pasukan Ternama Ditahan

Seorang bekas pemain bola sepak yang dipercayai pernah beraksi untuk beberapa pasukan utama Liga Super ditahan selepas didakwa terlibat dalam kes pecah rumah di Benut, lapor Sinar Harian.

Menurut sumber, suspek berusia 33 tahun diberkas kerana terlibat dalam kejadian jenayah pecah rumah yang menyebabkan mangsa kerugian puluhan ribu ringgit.

Tambahnya, suspek diberkas polis kerana dilihat berada dalam keadaan yang mencurigakan sebelum mendapati dia disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah.

Baca: “Terus Capai Red & Black,” Wan Chai Cuak Kena Ganggu Ketika Live, Tiba-Tiba Semua Member Lesap Diganggu ‘Makhluk Halus’?

“Apabila polis cuba menahannya, suspek yang enggan memberikan kerjasama cuba bertindak agresif menyebabkan berlaku sedikit pergelutan.

“Hasil siasatan, suspek mengaku melakukan aktiviti pecah rumah sebelum dia bersama seorang lagi rakannya menunjukkan lokasi di mana hasil rompakan disimpan,” katanya.

Kata sumber itu lagi, bekas pemain itu ditahan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan bersama rakannya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Pontian Deputi Superintenden Abdul Hamid Abd Rahman telah mengesahkan kejadian terbabit.

Menurut Abdul Hamid lagi, kes tersebut kini masih dalam siasatan pihak polis Pontian, Johor.

Pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi di selatan dan utara tanah air

Berdasarkan rekod, bekas pemain bola sepak itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan gergasi di selatan dan utara tanah air dalam Liga Super.

Selain itu, bekas pemain tersebut juga dikatakan pernah bermain di Liga Thailand selama dua tahun. Dia juga dipercayai pernah menjalani pemilihan bersama kelab yang berpengkalan di Jepun.

Kali terakhir dia dilihat beraksi bersama pasukan Liga Super adalah pada tahun 2018 bersama kelab berpengkalan di utara tanah air. Dia kemudiannya menukar haluan dan bermain bersama skuad Liga M3 sebelum mengakhiri kerjayanya.

Terdahulu, seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan ditahan selepas disyaki menceroboh sebuah bilik hotel yang dihuni seorang wanita di Petaling Jaya.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita berusia 35 tahun.  Mangsa mendakwa biliknya diceroboh lelaki berkenaan pada kira-kira 6.10 petang.

“Berlaku perselisihan faham antara mereka dan wanita tersebut meninggalkan hotel untuk menyelamatkan diri mangsa sebelum membuat laporan polis pada 2.10 pagi Khamis,” katanya dalam satu kenyataan.

Sumber: Sinar Harian

Syed Faisal Sayed Muhammad

Kehidupan itu laksana tenunan yang bersambung menjadi kata- Hamka