Siakap Keli
pemandu lamborghini dibebaskan
Gambar: Sinar Harian

Selesai Beri Keterangan, Lima Pemandu Lamborghini Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

Selesai Beri Keterangan, Lima Pemandu Lamborghini Dibebaskan Dengan Jaminan Polis

KOTA TINGGI —  Pihak polis memaklumkan bahawa lima pemandu kenderaan mewah jenis Lamborghini dibebaskan dengan jaminan polis hari ini, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, kesemua mereka dikesan memandu secara melulu dan berbahaya di Lebuhraya Senai-Desaru baru-baru ini.

Menurut Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, kesemua pemandu kereta mewah berkenaan telah selesai diambil keterangan oleh pihaknya pada Sabtu.

“Lima pemandu kereta mewah itu telah tampil memberikan keterangan semalam dan dibebaskan dengan jaminan polis,” ujarnya kepada pemberita hari ini.

Sebelum ini, lima pemandu kereta mewah tersebut telah dikenal pasti oleh pihak polis selepas dikesan memandu secara melulu dan mendatangkan bahaya di Lebuhraya Senai-Desaru.

Ia selepas orang awam memuat naik rakaman video pada Jumaat yang mendedahkan lima pemandu tersebut bersama kenderaan masing-masing.

BACA JUGA: Tular, Lamborghini Milik Syamsul Yusof Dipercayai Berasap Tepi Jalan

Dalam video berdurasi 71 saat tersebut, kesemua kenderaan itu dipandu dalam keadaan berbahaya ketika berkonvoi.

Klip tersebut mendedah mereka memotong kenderaan lain secara melulu sehingga boleh menyebabkan kemalangan.

Difahamkan, konvoi tersebut menuju ke Bandar Penawar dari Senai. Mereka dipercayai dalam perjalanan bagi menghadiri satu program sewaktu aksi berbahaya itu dirakamkan di Lebuhraya Senai-Desaru.

Kesemua pemandu yang terlibat merupakan warga tempatan dan berusia dalam lingkungan 44 tahun hingga 64 tahun.

Sehubungan itu, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu memandu secara melulu dan membahayakan.

Terdahulu, Bernama turut melaporkan bahawa pihak polis telah mengenal pasti pemandu-pemandu kereta mewah tersebut yang didapati memandu secara berbahaya dengan memotong kenderaan lain secara melulu.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora, berkata video tular mengenai aksi kesemua pemandu itu telah dimuat naik di laman Facebook pada jam 9.13 malam oleh orang awam.

“Susulan rakaman video tersebut, pihak polis telah berjaya mengesan kenderaan-kenderaan terlibat pada jam 11.40 pagi dan juga mengenal pasti pemandu-pemandu yang terlibat.

“Setakat ini, lima pemandu berusia antara 44 tahun hingga 64 tahun akan diambil keterangan. Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” maklumnya dalam satu kenyataan.

Sumber: Sinar Harian

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?