Atlet Somalia Pecah Rekod, Catat Masa Paling ‘Perlahan’ Acara 100M Di Sukan Universiti Dunia
Seorang pelari wanita berjaya ‘memecahkan’ rekod apabila mencatatkan masa paling perlahan dalam acara olahraga 100 meter di Temasya Sukan Universiti Dunia FISU.
Bagaimanapun, rekod yang dicatatkan di temasya yang sedang berlangsung di China ketika ini telah menimbulkan kontroversi.
Nasra Abubaka, atlet Somalia itu digambarkan sebagai seorang pelari yang tidak terlatih dan mempunyai pengalaman terhad dalam acara tersebut.
Menurut laporan Sport Bible, Nasra menamatkan larian acara tersebut dengan catatan masa 21.81 saat. Catatan masa yang dibuat oleh Nasra itu didakwa merupakan catatan masa paling perlahan dalam sejarah pertandingan acara berkenaan.
Atlet Somalia catat rekod masa paling ‘perlahan’ acara 100m
Kelemahan Nasra dikatakan sudah pun kelihatan sebelum bunyi tembakan pistol permulaan kedengaran lagi. Ketika pesaing-pesaingnya sedang membuat persediaan, Nasra dilihat agak kaku.
Sebaik tembakan dilepaskan, prestasi atlet Somalia yang berusia 20 tahun ini sangat rendah jika dibandingkan dengan peserta-peserta lain.
Ketika semua peserta mula untuk memecut ke garisan penamat, Nasra masih ketinggalan di belakang dan berlari dengan kelajuan yang perlahan.
Nasra dilaporkan hanya tiba di garisan penamat sekitar 10 saat dibelakang pemenang, Gabriela Silva Mourao yang mencatatkan masa 11.58 saat.
Pencapaian kurang memberangsangkan cetus kemarahan orang ramai
Rekod tersebut turut mengundang kontroversi dalam kalangan warga Somalia yang mempersoalkan kriteria pemilihan atlet yang dibuat negara tersebut.
Terdapat dakwaan yang menyebut bahawa Nasra dipilih kerana beliau merupakan anak saudara kepada Khadija Aden Dahir iaitu iaitu Timbalan Presiden Kanan bagi Persekutuan Atlet Somalia.
Berdasarkan tangkap layar di bawah, Khadija telah mengucapkan tahniah kepada Nasra kerana terpilih untuk menjadi sebahagian daripada pasukan larian pecut.

Susulan itu, Menteri Sukan Somalia, Mohamed Barre telah berikrar untuk menjalankan siasatan berkenaan proses pemilihan atlet yang terpilih untuk mewakili negara tersebut.
Mohamed Barre turut menyimpulkan bahawa apa yang berlaku adalah “kesalahan yang nyata dan memalukan” buat Somalia.
Somalia's Ministry of Sports Minister Mohamed Barre pledged to hold those responsible for what he termed as the "misrepresentation and embarrassment" of the country. The controversy intensified amid allegations of favouritism involving Abukar's potential familial connection to… pic.twitter.com/WxXjWWeVQW
— Somalia Live Update (@HassanIstiila) August 2, 2023
Orang awam turut menzahirkan rasa tidak puas hati dan kritikan di media sosial terhadap keputusan untuk meletakkan pelari yang tidak berpengalaman dalam satu acara yang besar.
BACA: Ini Cara Nak Buat Lesen Bas & e-Hailing Secara Percuma, Rujuk 6 Syarat Ni Dulu
Sumber: Sport Bible