Siakap Keli
Kredit: Bernama

 Ini Cara Nak Buat Lesen Bas & e-Hailing Secara Percuma, Rujuk 6 Syarat Ni Dulu

 Ini Cara Nak Buat Lesen Bas & e-Hailing Secara Percuma, Rujuk 6 Syarat Ni Dulu

Sebelum ini, lesen Public Service Vehicle (PSV), lesen yang melibatkan pengangkutan untuk penumpang diwajibkan bagi sesiapa yang menawarkan perkhidmatan teksi, van dan bas.

Namun, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) telah menambah syarat ini kepada pemandu atau bakal pemandu perkhidmatan e-Hailing bermula April 2019.

Disebabkan itu, ramai yang ingin membuat lesen PSV atas permintaan dan penggunaan meningkat dalam industri e-Hailing.

Sungguhpun begitu, kos untuk membuat lesen ini masih memberikan kesukaran bagi segelintir golongan yang tidak berkemampuan. RM200 masih dilihat sebagai satu jumlah yang besar dan beban yang berat untuk ditanggung oleh golongan B40.

Oleh sebab itu, menerusi inisiatif Belanjawan 2023, pihak kerajaan berbesar hati untuk melaksanakan Program MyPSV, yang mampu memberi manfaat terhadap 4,000 orang yang memerlukannya.

Kredit: Bernama

MyPSV bantu Golongan B40 Mulakan Kerjaya Dalam Perkhidmatan Bas dan e-Hailing

Pada 3 Julai, Menteri Pengangkutan melalui JPJ telah melancarkan inisiatif tersebut bagi membantu penggiat e-Hailing yang tergolong dalam kumpulan B40 untuk mendapatkan lesen PSV.

Pelancaran Program MyPSV Peringkat Kebangsaan Tahun 2023 telah disempurnakan oleh Loke Siew Fook, Menteri Pengangkutan dan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurut JPJ, inisiatif ini dijangka bakal memberi manfaat terhadap 3,500 orang pemohon lesen PSV [e-Hailing/Teksi] dan 500 orang untuk PSV [Bas].

Kos bagi menjayakan inisiatif ini menelan belanja kira-kira RM 2 juta, merangkumi RM2,590 untuk setiap pemohon PSV [Bas] dan RM190 bagi setiap pemohon PSV [e-Hailing/Teksi]. 

Dengan pelaksanaan inisiatif ini, ia membantu B40 dalam meningkatkan taraf sosioekonomi melalui peluang pekerjaan dalam sektor gig. 

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai program MyPSV, anda boleh merujuk syarat seperti di bawah. 

1. Warganegara Malaysia

2. Berumur 21 tahun dan ke atas

3. Lulus pemeriksaan kesihatan (JPJL8A)

4. Bebas senarai hitam (JPJ/PDRM/Mahkamah)

5. Pemohon Lesen Vokasional PSV (e-Hailing/Teksi) mestilah memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL) Kelas D

6. Pemohon bagi Lesen Vokasional PSV (Bas dengan BTM) melebihi 7,500 kilogram mesti memiliki Lesen Memandu Kompeten (CDL)Kelas D (sekurang-kurangnya satu (1) tahun) atau CDL Kelas E

Bagi calon di bawah Program MyPSV Bas, pemohon perlu menduduki Kursus Teori Vokasional, Latihan dan Ujian Praktikal (merangkumi litar dan jalan raya) setara dengan ketetapan sedia ada.

Manakala calon-calon di bawah Program MyPSV e-Hailing hanya perlu menduduki Kursus  e-Hailing sahaja.

Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lebih mendalam mengenai inisiatif ini, anda boleh melayari Facebook rasmi Jabatan Pengangkutan Malaysia (JPJ). 

Anda juga boleh melayari laman Belanjawan 2023 bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai inisiatif lain dalam Belanjawan 2023 yang boleh dinikmati rakyat.

Akhir kata, pelaksanaan inisiatif ini diharap dapat membantu rakyat Malaysia, khususnya golongan B40 untuk bertahan dan memiliki kemandirian ketika berdepan cabaran ekonomi.

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma