Cakra Khan Kotakan Janji, Bakal Adakan Konsert Di Malaysia
Penyanyi popular Indonesia, Cakra Khan menjelaskan mahu terus menabur bakti dalam industri seni selepas namanya menjadi bualan dunia sewaktu sesi uji bakat America’s Got Talent (AGT) 2023 baru-baru ini, lapor Sinar Harian.
Cakra atau nama sebenarnya, Cakra Konta Paryaman, 31, tidak mahu menjadi kacang lupakan kulit terhadap peminat di rantau Nusantara yang menjadi jatuh bangun kerjayanya.
Tambahan lagi, peluang untuknya menyinar di peringkat antarabangsa semakin terbuka luas.
Konsert Cakra Khan Di Malaysia
Sehubungan itu, penyanyi tersebut bakal kembali ke Kuala Lumpur bagi mengotakan janjinya dalam Konsert Cakra Khan Live in Kuala Lumpur.
Difahamkan, konsert tersebut diadakan di bawah acara Dream Festival Collaboration Vol. 4. Ia bakal dilangsungkan di Zepp Kuala Lumpur pada 17 September 2023.
Terkenal dengan karisma tersendiri, Cakra Khan bakal menghiburkan peminatnya dengan penampilan luar biasa menerusi himpunan-himpunan lagu popularnya.
BACA JUGA: Mara Ke Peringkat Seterusnya, Suara Serak Basah Cakra Khan Pukau Penonton & Juri Di AGT
Peminat akan ‘dibuai’ dengan perjalanan kerjaya nyanyian sepanjang lebih sedekad. Ia bermula dengan single perdana, Harus Terpisah yang membawa namanya semakin dikenali di Malaysia dan Indonesia sejak 2012.
Untuk pembelian tiket boleh dilakukan melalui laman web www.ticket2u.com. Harga tiket bagi Dream Festival Collaboration Vol. 4 – Cakra adalah RM178, RM198, RM318, RM508, dan RM5,880.
Terdahulu, Cakra mencuri tumpuan ramai dalam sesi uji bakat AGT 2023 yang disiarkan pada 18 Julai lalu selepas memukau para juri dengan vokalnya.
Ketika itu, Cakra telah mempersembahkan sebuah lagu berjudul, Make It Rain yang dipopularkan Ed Sheeran dan No Woman, No Cry (Bob Marley).
Susulan itu, kesemua juri termasuk Simon Cowell memberikannya empat ‘Yes’. Keunikan vokal dan karakter telah melayakkan dirinya ke pentas seterusnya.
Penonton Terkesima Lihat Persembahan
Sewaktu menyanyikan semula lagu kedua itu, para penonton memberikan sorakan dan tepukan gemuruh dengan persembahan yang ditampilkan olehnya, lapor CNN Indonesia.
Bukan sahaja itu, suara serak-serak basah lelaki itu membuatkan para penonton bangkit dari tempat duduk dan bernyanyi bersamanya.
Sumber: Sinar Harian