Siakap Keli
Belanjawan 2023

Kenapa Hal Ehwal Islam Dapat Peruntukan Tertentu Dalam Belanjawan 2023? Ni Jawapannya

Belanjawan 2023 telahpun dibentangkan dan semua sektor telah menerima pelbagai kelebihan dan manfaatnya. Hal ehwal Islam di Malaysia turut tidak terkecuali kerana satu peruntukan yang besar telah disediakan oleh kerajaan agar institusi Islam boleh menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran di Malaysia.

Tanpa mengenepikan mana-mana pihak, kerajaan melalui Belanjawan 2023 telah memperuntukkan beberapa inisiatif untuk pembangunan fasiliti agama di negara kita.

Senarai Peruntukan Bajet & Program (Hal Ehwal Agama)

Berdasarkan teks ucapan Belanjawan 2023 Malaysia Madani, kerajaan telah menyediakan peruntukan sebanyak RM1.5 bilion berkaitan dengan hal ehwal Islam. Peruntukan ini diberikan untuk menjadikan institusi Islam sebagai contoh terbaik dalam kecekapan mentadbir di Malaysia.

Hasilnya, ada beberapa peruntukan bajet dan program untuk hal ehwal agama di Malaysia yang telah diumumkan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Antaranya ialah:

  • Menaikkan elaun mengajar sebanyak RM100 kepada RM1,100 untuk guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) sebagai tanda penghargaan sumbangan mereka dalam menyebarkan syiar Islam.
  • Sumbangan khas sebanyak RM600 turut diberikan kepada 70,000 orang imam, bilal, tok siak, noja, marbut, guru KAFA dan guru takmir. Untuk makluman bayaran sumbangan telah dibuat bermula April.
  • Peruntukan tambahan RM150 juta untuk sekolah tahfiz dan institusi pondok yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Dengan adanya peruntukan ini, dapatlah tempat-tempat pembelajaran ini menambah baik kemudahan yang diperlukan agar para pelajar dapat menikmati persekitaran pembelajaran yang selamat dan selesa.
  • Bermula 2024, aset simpanan syariah KWSP akan diasingkan daripada aset dalam simpanan konvensional. Kata Anwar, aset simpanan syariah telah dilaburkan bersama aset patuh syariah dalam simpanan konvensional sejak 2017. Disebabkan itulah perkara ini dilakukan bagi meningkatkan keupayaan sistem kewangan Islam Malaysia dan memberi pulangan yang kompetitif kepada 1.25 juta ahli yang memiliki akaun syariah.

Belanjawan 2023 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini sememangnya memberikan pelbagai manfaat kepada pelbagai golongan di Malaysia.

Peruntukan sebanyak RM1.5 bilion ini turut diharapkan dapat memberi kemudahan dalam pembangunan hal ehwal Islam di Malaysia.

Untuk ketahui lebih lanjut, layari belanjawan.mof.gov.my/manfaat. Di laman tersebut, kita boleh mengetahui pelbagai info tentang bagaimana untuk mengambil bahagian dalam inisiatif serta meneroka lebih banyak lagi langkah yang kerajaan tawarkan kepada rakyat Malaysia.

Adib Mohd