Siakap Keli
fosil haiwan terbesar dunia
Gambar: A. Gennari 23

Pakar Temui Fosil Haiwan Terbesar Dalam Sejarah Dunia, Lebih Berat Dari Ikan Paus Biru

Pakar Temui Fosil Haiwan Terbesar Dalam Sejarah Dunia, Lebih Berat Dari Ikan Paus Biru

Seperti yang diketahui, ikan paus biru memegang gelaran haiwan terbesar di muka bumi ketika ini.

Gergasi lautan ini  juga mampu membesar mencapai lebih 100 kaki panjang dengan berat melebihi 200 tan.

Walau bagaimanapun, ia hanyalah rekod yang dipegang pada ketika ini. Jika berbalik pada masa lampau, adakah terdapat haiwan lain yang mampu menyamai saiz paus biru atau mungkin lebih besar daripadanya?

Dalam laporan National Geographic, ahli paleontologium berkemungkinan telah menemukan rangka spesies haiwan purba yang  lebih berat dan besar berbanding paus biru.

Difahamkan, penemuan itu dilakukan di pantai purba Peru yang berusia 37 juta tahun lalu.

Haiwan purba yang dimaksudkan itu dinamakan Perucetus Colossus oleh seorang ahli paleontologi Universiti Pisa, Giovanii Bianucci dan rakan sekerja.

Apa itu Perucetus Colossus?

Menurut jurnal Nature, Perucetus yang juga sejenis ikan paus prasejarah itu berkemungkinan mempunyai berat lebih daripada 300 tan.

Pada 13 tahun lalu, seorang ahli paleontologi Universiti Kebangsaan San Marcos, Mario Urbina telah menemui separa rangka haiwan purba itu. Dia yang juga pengarang bersama kajian itu menemui fosil itu di sekitar batuan Lembah Ica di selatan Peru.

Ikan Perucetus
Gambar: Giovanni Bianucci

Pada awalnya, rangka berkenaan tidak dianggap sebagai penemuan yang mengejutkan kerana ia kelihatan seperti batu. Penemuan itu kemudiannya diyakinkan oleh ahli paleontologi di Muzium Sejarah Alam Stuttgart di Jerman, Eli Amson.

“Pada mulanya, saya terpaksa meyakinkan ahli pasukan yang lain bahawa apa yang kami temui itu adalah beberapa fosil kerana bentuknya yang pelik. Tetapi setelah diteliti, bahagian nipis dan kepingan dari serpihan itu adalah tulang,” katanya.

BACA JUGA: Guna Peta Prasejarah Ini, Jom “Check” Lokasi & Keadaan Rumah Anda Pada Zaman Dinosaur

Tambah Amson, selepas itu, pasukan itu telah menghabiskan waktu selama 10 tahun bagi mengeluarkan fosil perucetus dari batu.

Fosil Perucetus

Sepanjang pencarian tersebut, pasukan berkenaan telah menjumpai sebanyak 13 tulang belakang, empat rusuk dan sebahagian rangka pinggul haiwan prasejarah itu.

Hasil kajian yang dijalankan, pihaknya percaya bahawa perucetus termasuk dalam saudara ikan paus akuatik, Basilosaurus. Hal ini kerana haiwan tersebut mempunyai muncung panjang dengan gigi pemotong.

Dengan membandingkan rangka haiwan tersebut dan paus hidup, Amson dan rakannya membuat anggaran dengan membandingkan rangka haiwan tersebut dan rangka paus hidup yang lengkap.

Berdasarkan tanda-tanda ketumpatan tulang (pachyosteosclerosis), mereka percaya bahawa mamalia marin itu mempunyai badan yang cukup berat.

“Badan yang padat bermaksud ia memerlukan banyak tenaga untuk mampu berenang ke bawah secara konsisten. Apatah lagi bagi mengimbangi tulang yang berat, haiwan ini memerlukan tisu apung yang mencukupi seperti otot dan lemak. Ia bagi memudahkan proses berenang dan terapung di dalam air tanpa menggunakan tenaga yang berlebihan.

“Kami menggunakan nisbah tisu rangka terhadap beberapa spesies hidupan marin lain bagi menganggarkan jisim badan keseluruhan perucetus,” katanya.

Menurut Amson lagi, dia secara peribadi menganggarkan berat ikan paus itu antara 93 tan hingga 370 tan.

Petunjuk Lain

Gambar: Giovanni Bianucci

Bagi mendapatkan ukuran dan informasi yang lebih tepat mengenai paus purba itu adalah cabaran utama dalam kajian tersebut. Lebih-lebih lagi hanya sebahagian rangka haiwan tersebut dijumpai.

Perkara itu diberitahu oleh penyelidik ikan paus di Muzium Sejarah Alam Negara, Nicholas Pyenson.

Katanya, berlaku percanggahan maklumat mengenai ukuran sebenar saiz haiwan tersebut setelah menggabungkn informasi lain. Ideologi yang sama turut dibawa oleh penyelidik ikan paus dari Muzium Sejarah Alam London, Travis Park.

BACA JUGA: Saintis Temui Fosil Gergasi Laut Purba, Seakan Buaya & Ular

“Anggaran berat badan haiwan itu melebihi 300 tan seperti tidak releven bagi saya, malah berat antara 60 hingga 80 tan juga agak melampau bagi saya. Hakikatnya, haiwan ini sememangnya memiliki saiz dan jisim yang berat seperti ikan paus biru dan mamalia laut lain (cetacean) pada masa kini, ” katanya.

Sehingga kini, saintis berpendapat bahawa ikan paus berevolusi menjadi saiz gergasi sekitar lima juta tahun yang lalu setelah berlaku perubahan dalam peredaran laut.

Sumber Makanan Perucetus

Para saintis percaya bahawa mamalia ini sudah pasti memerlukan kuantiti makanan yang banyak seperti cetacean lain. Namun, sumber makanannya masih menjadi misteri dan tanda-tanya.

Difahamkan, perucetus tergolong dalam kumpulan ikan paus pemangsa. Ia biasanya memakan mangsa yang besar seperti ikan.

Walau bagaimanapun, melihat kepada saiz badannya yang besar, haiwan ini bukanlah ikan yang mampu berenang dengan tangkas di dalam air bagi mengejar mangsa.

“Tidak seperti basilosaurid berkaitan yang mengejar mangsa melalui lautan, perucetus nampaknya bukanlah perenang yang tangkas. Jadi ia tidak akan memburu mangsa yang bergerak pantas seperti ikan.

“Tetapi, ia juga bukanlah ikan pemakan tumbuhan kerana tidak ada ikan paus dari jenis herbivor,” jelas Amson.

Lazimnya, mamalia marin gergasi ini berkemungkinan memburu mangsa di bawah seperti kerang, crustaceans (lobster, ketam, udang). Ia berdasarkan tengkoraknya yang mempunyai gigi.

Buat masa ini, persoalan mengenai diet ikan prasejarah ini masih tidak diketahui secara jelas.

Sumber: National Geographic 

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?