Pasti Teringat-Ingat , Ini Cara Nak Buat Kari Telur Yang Pekat & Sedap
Telur rebus berlauk merupakan hidangan mudah yang boleh dilakukan oleh sesiapa pun. Lebih-lebih lagi buat mereka yang suka akan resepi yang cepat dan senang untuk disediakan.
Hari ini, SK akan berkongsi kepada orang ramai mengenai resepi kari telur yang sering dimasak oleh kaum India.
Pemilik resepi, De Norms Latore berkata dia mempunyai kisah di sebalik kari telur miliknya itu.
Katanya, kawan-kawan pejabatnya yang berbangsa India berpakat sesama mereka untuk memberikan duit RM10 kepadanya supaya memasak hidangan itu sekali lagi.
Ujar mereka, kari telur yang dibuat oleh De Norms Latore itu mengingatkan mereka kepada masakan mendiang ibunya.
Disebabkan itu, dia membuat keputusan untuk berkongsi resepi itu kepada orang ramai, supaya membantu mereka yang merindukan masakan ibu.
Mari tengok resepi itu di bawah ini.
BACA: “Berair Hidung Makan”, Khairul Aming Kongsi Resipi Nasi Goreng Kampung
Resepi Kari Telur dan Kentang

Bahan-bahan yang diperlukan:
10 biji telur ayam (rebus)
5 biji kentang (kupas, belah empat, bilas dan toskan)
10 batang daun kari (batang dibuang dan cuci)
8 sudu bawang besar (dikisar)
3 susu bawang putih (dikisar)
1 ½ Halia (dikisar)
1 kiub pati ayam
1 cawan minyak masak
5 sudu kari ayam jenama babas
3 sudu kari ikan jenama babas
4 sekawan (bilas dan toskan):
2 batang kayu manis
2 kuntum kecil batang bunga lawang
4 biji bunga cengkih
4 biji kecil buah pelaga
2 keping kecil asam keping
1 ½ kotak santan (200gm)
Cara-cara memasak:
Panaskan minyak masak kemudian masukkan empat sekawan, bawang besar, bawang putih dan halia yang dikisar.
Tumis selama lima minit dengan api yang kecil.
Kemudian, masukkan daun kari. Biar bau daun kari naik semerbak dan kacau secara tidak konsisten dalam 10 hingga 15 minit.
Campurkan serbuk kari ayam babas dan serbuk kari ikan babas dalam satu mangkuk. Masukkan sedikit air untuk sebatikan serbuk tersebut. Pastikan serbuk itu likat.
Setelah itu, masukkan campuran dua serbuk itu ke dalam kuali dan kacau rata.
Tambahkan minyak masak dalam dua atau tiga sudu makan dan kacau secara konsisten sehingga pecah minyak.
Elakkan ia menjadi hangit. Api dapur perlu letakkan dalam keadaan sederhana dan ia sememangnya mengambil masa untuk tunggu kari itu pecah minyak.
Seterusnya, masukkan kesemua kentang yang telah dibelah. Kacau guna sudip kayu dan jangan guna senduk kerana nanti kentang akan hancur.
Masukkan pati kiub pati ayam yang dihancurkan dan asam keping, kemudian kacau rata.
Apabila kari telah pecah minyak, masukkan santan dan kacau secara tidak konsisten sehingga santan pecah minyak.
Langkah seterusnya adalah untuk meletakkan garam. Kemudian tunggu sehingga mendidih dan masukkan telur rebus.
Tutup api dapur dan siap.
Nota kecil buat semua:
1. Biasa saya campurkan bahan-bahan masakan agak-agak sahaja. Sukatan di atas ini mengikut anggaran saya untuk anda semua.
2. Kari yang biasa-biasa tiada bahan istimewa digunakan.
3. Apabila tumis, saya memang akan guna minyak masak secawan. Bila agak-agak kurang minyak semasa memasak, saya akan tambah sedikit lagi dalam satu atau dua sudu makan.
4. Setelah siap, saya akan gunakan kitchen paper yang warna putih untuk serapkan minyak atau guna senduk keluarkan lebihan minyak dalam masakan kari itu.
5. Ada yang bertanya mengenai periuk yang saya guna. Periuk ini sebenarnya daripada periuk nasi elektrik.
6. Bawang besar, bawang putih, halia itu semua memang saya dah siap kisar untuk stok seminggu dua.
7. Masakan kari yang saya buat memang ambil masa. Saya minta maaf semua saya kurang cekap dalam masakan jadinya memang ambil masa kalau saya masak. Maaf kalau ada terkurang.
https://www.facebook.com/Resepiisteriviral/posts/pfbid02FrKSWyanrGjPZKTdfkXd4RJTFPW8jZiMUH5ajyS7fjY2HJEQgpxypiiupLFCGRnDl
Sumber: De Norms Latore via Resepi Isteri Viral/Facebook