Siakap Keli
diskaun harga makanan jalur gemilang
Gambar: Bernama

Pekedai Bagi Diskaun Harga Makanan Jika Pakai Baju Jalur Gemilang, Lahir 31 Ogos

Pekedai Bagi Diskaun Harga Makanan Jika Pakai Baju Jalur Gemilang, Lahir 31 Ogos

IPOH, 7 Ogos (Bernama) — Dalam usaha menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan, seorang pesara yang membuka kedai makan mencipta kelainan dengan menawarkan potongan harga hingga 20 peratus kepada pelanggan yang makan di premisnya di sini, dengan syarat mengenakan baju dengan tema yang ketara – ‘Merdeka’ atau ‘Jalur Gemilang’.

Mohammad Zarilan Ellias, 60, berkata diskaun istimewa buat pelanggan Terengganu Corner yang terletak di sebuah medan selera di Jelapang itu juga diberikan kepada mereka yang lahir pada 31 Ogos pada setiap Ahad sepanjang Bulan Kebangsaan ini.

Menurutnya idea itu terhasil oleh beliau sendiri yang mempunyai jiwa sebati dengan sejarah kerana pernah berkhidmat di Arkib Negara Malaysia selama 39 tahun.

“Saya baru sahaja bersara dan sepanjang perkhidmatan, saya terlibat dalam pelbagai program kemerdekaan termasuk di pejabat awam dan swasta, sekolah-sekolah dan Institut Pengajian Tinggi.

“Jadi saya mahu meneruskan legasi ini hingga ke akhir hayat untuk semarakkan semangat kemerdekaan di negeri Perak terutamanya bagi generasi muda,” katanya ketika ditemui Bernama di premis itu.

BACA JUGA: Pengerusi MAIS Saran Terus Semarakkan Semangat Patriotik, Edar 3,012 Jalur Gemilang

Tinjauan Bernama mendapati seluruh kedai makan itu turut diceriakan dengan kibaran Jalur Gemilang dan rata-rata pelanggan yang mengenakan pakaian merdeka agak teruja dengan promosi tersebut.

Seorang pelanggan Saifurnizam Ya’akob, 33, yang menikmati potongan harga yang kerana mengenakan baju dengan konsep Jalur Gemilang berkata, beliau teruja kerana tidak pernah melihat promosi sedemikian pada Bulan Kebangsaan sebelum ini.

“Ini pertama kali ada kedai makan yang sediakan promosi untuk mereka yang makan di sini atau bungkus. Dengan cara ini, kita dapat merasai suasana kemerdekaan sepanjang bulan sebelum 31 Ogos nanti,” katanya.

Seorang lagi pelanggan Ismail Muhd Bayudin, 42, yang merupakan penduduk dari Silibin berkata insiatif itu dapat membantu pelanggan berjimat dan diharapkan ia akan diteruskan pada masa hadapan.

“Bagus ada potongan harga, saya tidak pernah jumpa lagi promosi seperti ini, jadi kalau boleh teruskan pada tahun akan datang dan sambutan-sambutan lain juga,” katanya yang berkunjung kedai makan itu bersama isterinya.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?