“No Komen,” Muhyiddin Tak Nak Ulas Isu Menantu Dicari SPRM
Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin enggan mengulas sebarang jawapan mengenai dakwaan menantunya, Datuk Muhammad Adlan Berhan sedang dicari oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Menurut Sinar Harian, menantunya itu dicari SPRM berikutan kes penyelewengan yang membabitkan pekerja asing di sebuah kementerian.
Pertanyaan tersebut dibuat oleh wartawan yang menemuinya selepas beliau selesai berkempen mengiringi calon Dewan Undangan (DUN) Batu Tiga, Datuk Seri Rina Harun.
“No komen,” ujarnya ringkas kepada wartawan.
Terdahulu, media pada sebelum ini melaporkan bahawa SPRM sedang giat mengesan dua lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing bagi sebuah kementerian.
SPRM dalam satu kenyataan berkata bahawa cubaan untuk menghubungi kedua-dua lelaki tersebut termasuk seorang peguam secara terus serta melalui peguam masing-masing menemui kegagalan selepas mereka enggan memberikan kerjasama.
Semakan rekod yang dilakukan oleh SPRM juga turut mendapati bahawa kedua-dua mereka telah meninggalkan Malaysia pada 17 dan 21 Mei lalu.
Difahamkan bahawa setakat ini, tidak ada rekod yang menunjukkan bahawa kedua-duanya akan kembali ke Malaysia.
Sumber: Sinar Harian