China Kini Masuk Fasa Deflasi, Ini Maksud & Kesannya Kepada Ekonomi
China dilapor jatuh ke dalam deflasi selepas indeks harga pengguna di negara itu menguncup buat kali pertama pada bulan lepas dalam tempoh dua tahun.
Menurut AFP, berdasarkan data yang didedahkan pada Rabu, deflasi berlaku antara lain disebabkan perbelanjaan domestik yang perlahan memberi kesan terhadap pemulihan ekonomi negara berkenaan selepas pandemik.
Biro Statistik Kebangsaan China berkata, Indeks Harga Pengguna jatuh 0.3 pada Julai selepas mendatar pada Jun.
Sebelum ini, penganalisis Bloomberg menjangkakan kejatuhan pada indeks tersebut sebanyak 0.4 peratus pada Julai.
Pengumuman itu merupakan berita mengecewakan kali kedua yang dilaporkan melibatkan ekonomi China dalam tempoh terdekat.
China jatuh ke fasa deflasi
Pada Selasa, data menunjukkan kejatuhan terbesar eksport China dalam tempoh lebih tiga tahun.
Deflasi juga boleh berlaku apabila kekuatan eksport sesebuah negara merosot dan dalam kes China, eksport secara sejarahnya adalah kunci utama pertumbuhan ekonomi negara itu.
Kadar import turut dilaporkan merosot selama sembilan bulan berturut-turut disebabkan permintaan domestik yang lemah.
Sebelum ini, China telah mengalami masalah deflasi jangka pendek pada akhir 2020 dan pada awal 2021. Ketika itu, harga babi dilaporkan menjunam.
Pada 2009, China turut pernah berdepan dengan deflasi.
Makna deflasi dan bahaya kepada ekonomi
Deflasi merujuk kepada kejatuhan harga barang dan perkhidmatan, manakala pada masa yang sama kuasa membeli pengguna meningkat. Situasi berkenaan boleh berlaku atas pelbagai faktor termasuk faktor pengurangan dalam perbelanjaan.
Dalam bahasa mudahnya, pengguna boleh membeli lebih banyak barangan dan menggunakan lebih banyak perkhidmatan pada hari esok, berbanding hari ini dengan amaun wang yang sama.
Walaupun kejatuhan harga barang dilihat baik kepada kuasa membeli, namun ia memberikan acaman yang besar terhadap ekonomi.
Hal ini disebabkan, apabila melihat harga barang jatuh, pengguna cenderung untuk ‘menahan’ dan tidak berbelanja terlebih dahulu kerana berharap harga sesuatu barang jatuh lebih rendah.
Keadaan itu seterusnya menyebabkan kadar perbelanjaan pengguna jatuh dan boleh menjejaskan para pengeluar serta pengilang.
Kekurangan permintaan kemudian akan memaksa syarikat-syarikat untuk mengurangkan jumlah pengeluaran, membekukan pengambilan pekerja baharu atau membuang pekerja sedia ada.
Seterusnya, syarikat-syarikat juga terpaksa memberikan potongan harga agar produk-produk mereka terjual, menyebabkan keuntungan syarikat merosot biarpun kos operasi kekal.
Jika pendapatan syarikat terjejas, ia juga menyebabkan peluang pekerjaan yang ditawarkan semakin berkurang dan kadar pinjaman meningkat.
Kesan negatif ini akan menyebabkan kadar pengangguran menjadi lebih tinggi dan memberikan kesan buruk terhadap masyarakat, jika berlaku pada jangka masa yang panjang
BACA: Betul Ke PRN Boleh Tukar Kerajaan Persekutuan? Ini Beza Antara PRU Dengan PRN