Siakap Keli
perbezaan pru prn
Kredit: Bernama

Betul Ke PRN Boleh Tukar Kerajaan Persekutuan? Ini Beza Antara PRU Dengan PRN

Betul Ke PRN Boleh Tukar Kerajaan Persekutuan? Ini Beza Antara PRU Dengan PRN

Selepas keluar mengundi Pilihan Raya Umum (PRU) pada penghujung tahun lepas, penduduk di beberapa negari bakal bertemu dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) pula pada hujung minggu ini.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh 12 Ogos sebagai hari pengudian PRN bagi enam buah negeri secara serentak. Bagi mereka yang memohon untuk undi awal, proses tersebut berlangsung pada hari ini.

Enam negeri yang terlibat adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Pulau Pinang, Terengganu dan Kelantan. Manakala negeri-negeri yang lain sudahpun mengadakan PRN serentak dengan PRU yang lepas.

Menurut SPR, seramai 570 orang calon bakal bertanding dalam PRN kali ini di 245 buah kerusi yang dipertandingkan.

SPR juga menetapkan tempoh berkempen selama 14 hari, iaitu bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam pada 11 Ogos.

Disebabkan kita baru sahaja berdepan dengan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, rata-rata kita menjadi keliru.

Ada yang tertanya-tanya, “Bukan kita sudah mengundi ke? Kenapa perlu mengundi lagi sekali?”

Segelintir ahli masyarakat nampaknya masih kurang memahami konsep Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu sendiri.

Terdapat dua jenis pilihan raya besar di Malaysia iaitu PRU dan PRN. Kebiasannya, negeri-negeri di Semenanjung khususnya akan mengadakan PRN serentak bersama PRU. Proses ini berlaku sekali setiap lima tahun.

Bagi negeri-negeri yang mengadakan PRU dan PRN serentak, pengundi akan diberikan dua kertas undi ketika hari mengundi. Kertas mengundi tersebut adalah bagi memilih calon Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan dan ADUN di peringkat negeri.

Secara ringkasnya, pilihanraya diadakan bagi memilih seorang wakil bagi mengisi setiap kerusi yang dipertandingkan sama ada ADUN di peringkat negeri dan Ahli Parlimen di peringkat Persekutuan.

Beza PRU dengan PRN

PRU berperanan untuk memberikan peluang kepada rakyat untuk memilih ahli Parlimen bagi mewakili kawasan masing-masing. Terdapat 222 kerusi Parlimen di seluruh negara.

Calon yang memenangi kerusi Parlimen sewaktu PRU akan menjadi Ahli Dewan Rakyat. Parti atau gabungan yang memperoleh kerusi majoriti Parlimen akan membentuk kerajaan Persekutuan bagi mentadbir negara.

Peranan ahli Parlimen adalah untuk meluluskan, meminda atau memansuhkan undang-undang di peringkat Persekutuan.

Selain itu, tugas hakiki mereka antara lain adalah untuk melakukan proses semak dan imbang dasar dan keputusan perlaksanaannya di peringkat Kerajaan Persekutuan.

beza pru prn
Kredit: Bernama

Di peringkat negeri pula, PRN diadakan bagi melantik ADUN bagi setiap lokaliti. Seperti di Persekutuan, parti atau pakatan parti yang memenangi kerusi DUN terbanyak akan membentuk kerajaan negeri.

Berbeza dengan ahli Parlimen, peranan ADUN adalah untuk meluluskan undang-undang, menguruskan bajet dan membincangkan dasar-dasar pada peringkat negeri.

Seperti yang disebut di awal tadi, PRU dan PRN khususnya negeri-negeri di Semenanjung selalunya diadakan secara serentak. Antara alasan-alasannya adalah bagi menjimatkan kos dan memudahkan pergerakan pengundi.

Bagaimanapun, pada tahun lepas, apabila Perdana Menteri ketika itu mengumumkan pembubaran Parlimen bagi mengadakan PRU 15, terdapat enam negeri yang memilih untuk tidak melakukan demikian.

Untuk pengetahuan, PRU 15 yang lepas diadakan lebih awal, kurang daripada tarikh lima tahun selepas PRU 14.

beza pru prn
Kredit: Bernama
Antara soalan yang popular ketika demam PRN enam negeri adalah, adakah keputusan PRN bagi enam negeri ini memberi kesan terhadap kedudukan Kerajaan Persekutuan?

Jawapannya, tidak. PRN tidak akan mengubah Kerajaan Persekutuan disebabkan PRU bagi memilih ahli Parlimen untuk mengisi Dewan Rakyat sudah pun berlangsung pada PRU 15 yang lepas.

Selain itu, PRN diadakan hanya untuk memilih ADUN bagi mengisi kerusi di DUN sahaja.

Parti atau pakatan parti yang memiliki ADUN teramai di DUN hanya akan membentuk kerajaan negeri dan langsung tidak melibatkan kerajaan di peringkat Persekutuan.

BACA: Guna Tapak “Mug”, Cara Mudah Nak Tajamkan Pisau Dapur Kalau Tak Ada Batu Asah

Sumber: Sinar Harian & Portal Rasmi Parlimen Malaysia

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma