Utama

Pilihan Editor

Ini Kisah Aku

Kisah peribadi rakyat Malaysia, dalam suara mereka sendiri.

Lihat semua kisah

Majlis Angkat Sumpah MB Kedah Diadakan Esok

Iqbal Yasir
majlis angkat sumpah mb kedah
Gambar: Bernama

Majlis Angkat Sumpah MB Kedah Diadakan Esok

ALOR SETAR, 13 Ogos (Bernama) — Selepas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dimuktamadkan semalam, majlis pelantikan dan angkat sumpah Menteri Besar Kedah kini dijadualkan berlangsung di Istana Anak Bukit, di sini, esok.

Berdasarkan surat jemputan media yang dikeluarkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah hari ini, majlis itu dijadual diadakan di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di sini kira-kira pukul 9 pagi.

BACA JUGA: Chow Kon Yeow Selesai Angkat Sumpah Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang

Majlis angkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah itu turut akan dihadiri Setiausaha Kerajaan Kedah Datuk Norizan Khazali.

Pada PRN semalam, Perikatan Nasional (PN) berjaya memperoleh kemenangan besar iaitu 33 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi PN Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri ketika ini bertindak sebagai Menteri Besar Kedah sementara, sehingga Menteri Besar baharu dilantik dan mengangkat sumpah.

Sumber: BERNAMA