Siakap Keli
Kenapa Kucing Buka Mulut Selepas Hidu Sesuatu?
Kredit: AFP

Kenapa Kucing Suka Buka Mulut Bila Terhidu Sesuatu? Bukan Saja-saja, Ini Sebab Ramai Tak Tahu

Kenapa Kucing Suka Buka Mulut Bila Terhidu Sesuatu? Bukan Saja-saja, Ini Sebab Ramai Tak Tahu

Kucing mungkin merupakan haiwan peliharaan yang paling banyak dibela oleh rakyat Malaysia. Status si bulu ini yang sering dinisbahkan sebagai ‘majikan’ kepada manusia lebih daripada sekadar haiwan peliharaan.

Dengan wajah comel dan keletah lucunya, kucing juga punya peel tersendiri yang berbeza-beza. Namun yang pasti, kucing menghiburkan dan melihat kelaku si bulu ini setiap hari adalah satu terapi yang boleh menghilangkan kelelahan.

Antara ulah kucing boleh kita lihat apabila terhidu bau busuk. Jika diperhatikan, kucing gemar membuka mulut untuk tempoh yang lama apabila terhidu aroma tidak menyenangkan.

Persoalannya, kenapa kucing buka mulut lama-lama apabila hidungnya menangkap bau tidak menyenangkan?

Menurut Mental Floss, tindak balas itu disebut sebagai flehmen atau ‘muka apabila berdepan dengan bau busuk’.

Hannah Shaw, sukarelawan penyelamat kucing berkata, flehmen merupakan cara kucing menganalisis bau busuk atau bau-bau yang menarik.

Tindak balas flehmen membenarkan bauan tersebut untuk melalui organ vomeronasal yang terletak pada lelangit mulut kucing.

Organ vomeronasal yang juga dipanggil sebagai organ Jacobson merupakan wilayah sel-sel sensori yang berada dalam sistem penghiduan bagi haiwan mamalia, amfibia dan reptilia.

Walaupun kucing anda memimikkan raut wajah yang agak aneh, ketika itu kucing sebenarnya sedang menarik balik bibir atasnya. Kucing menggunakan mulutnya (bukan hidung) untuk menyedut udara dan menapisnya menerusi kawasan vomeronasal.

Saintis berpendapat bahawa maklumat sensori yang bergerak menerusi organ vomeronasal berada diantara deria rasa ataupun bau.

Untuk makluman, anjing juga memiliki reseptor seperti ini tetapi kucing memiliki 30 jenis reseptor secara purata, sedangkan anjing memiliki sembilan sahaja.

Bukan itu sahaja, kucing besar seperti harimau dan singa turut memiliki tindak balas flehmen dan beberapa haiwan lain seperti kuda dan landak.

Selain buka mulut selepas hidu sesuatu, kucing juga selalu menjelirkan lidahnya

Salah satu tabiat kucing yang mirip dengan respons flehmen adalah menjelirkan lidah. Dengan cara ini, kucing dapat ‘menghidu’ persekitarannya dengan mengumpulkan feromon yang akan disalurkan ke organ vomeronasal.

Mungkin tindakan kucing ini kelihatan agak comel sama seperti tindak balas flehmen, tetapi haiwan berbulu ini melakukannya secara bersebab.

Haiwan feline jantan lebih cenderung untuk membuat muka berbanding haiwan betina. Akan tetapi, haiwan betina akan menggunakan kaedah ini untuk mengesan anak-anak kucingnya.

“Kucing jantan juga menggunakan tindak balas flehmen ketika hendak  mengawan. Bau boleh membantu menunjukkan keserasian dan jika masa adalah tepat,” kata doktor haiwan, Sasha Gibbons.

Kucing jantan yang telah dimandulkan turut mempamerkan tindak balas flehmen walaupun mungkin tidak memikirkan tentang mengawan.

BACA: Guna Cawan Plastik, Cara Susun Langsir Eyelet Bagi Nampak ‘Berombak’ Elok

Sumber: Mental Floss

Nur Syahirah Zainoor Hisham

Everyone has their own perspective, there’s nothing strange about that - Thoma

Your Header Sidebar area is currently empty. Hurry up and add some widgets.