Siakap Keli
pesawat terhempas elmina
Gambar: Bernama

Pesawat Terhempas Di Elmina: 10 Lelaki Disahkan Maut

Pesawat Terhempas Di Elmina: 10 Lelaki Disahkan Maut

SHAH ALAM — Polis mengesahkan 10 orang lelaki dipercayai warga tempatan maut dalam nahas membabitkan sebuah pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam hari ini, lapor Bernama.

Perkara itu disahkan oleh Ketua Polis Selangor sebentar tadi.

Menurut Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, lapan daripadanya ialah penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Kata Datuk Hussein, nahas itu berlaku ketika dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat 2.50 petang tadi.

“Namun dua minit sebelum mendarat, pesawat tersebut dipercayai hilang kawalan dan terhempas lalu melanggar motosikal dan kereta yang melalui kawasan itu,” ucapnya dalam sidang media hari ini.

Difahamkan, Jabatan Bomba dan Penyelamat mengambil masa 10 minit untuk memadam kebakaran di lokasi kejadian.

Kesemua mangsa dipercayai berusia lingkungan 40-an hingga 50-an meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, untuk proses bedah siasat.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media, Ketua Pegawai Eksekutif  Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Dato’ Kapten Norazman Mahmud berkata, pesawat yang terhempas itu merupakan pesawat jenis Beechcraft Premier 1 dengan nombor pendaftaran N287V.

BACA JUGA: Pesawat Terhempas Di Elmina: Penunggang Motosikal Dipercayai Antara Yang Terkorban 

Difahamkan, pesawat berkenaan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi pada 2.08 petang dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz.

Menurut CAAM lagi, kontak pertama antara pesawat dengan Menara Kawalan Udara Subang berlaku pada 2.47 petang dan pesawat itu mendapat kebenaran untuk mendarat pada 2.48 petang.

”Pada 2.51 petang, Menara Kawalan Udara Subang melihat kehadiran asap dari lokasi kejadian namun tiada panggilan kecemasan dibuat oleh pesawat tersebut.

“Pusat Koordinasi Menyelamat Aeronautik Kuala Lumpur (KL ARCC) telah diaktifkan bagi melaksanakan misi mencari dan menyelamat,” jelasnya.

Siasatan lanjut akan dilaksanakan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan mengikuti Bahagian XXVI Peraturan-peraturan Penerbangan Awam 2016.

Berita lanjut akan menyusul.

Sumber: BERNAMA

Iqbal Yasir

Tengah stalk gambar sebelah ke tu?