Kecoh Di Luar Stadium, Tular Insiden Pergaduhan Dipercayai Lepas Perlawanan Pulau Pinang & Kedah
GEORGETOWN — Satu insiden pergaduhan dipercayai telah berlaku selepas perlawanan Liga Super antara Pulau Pinang dan Kedah Darul Aman malam tadi, lapor Sinar Harian.
Kejadian dipercayai tercetus apabila berlaku provokasi oleh beberapa individu sebelum situasi menjadi bertambah tegang dan tolak-menolak tercetus di luar stadium berkenaan.
Menerusi klip berdurasi 1 minit 42 saat, memaparkan sekumpulan lelaki berpakaian hitam dipercayai mengeluarkan kata-kata bersifat provokasi.
BACA: Kad Merah Mac Allister Dibatalkan, Tonggak Liverpool Terlepas Hukuman Penggantungan
Kekecohan itu bertambah buruk apabila segelintir daripada mereka bertindak agresif dengan sepak terajang di kawasan parkir bas bersebelahan stesen minyak.
Video yang memaparkan insiden itu juga telah tular di media sosial dan mendapat pelbagai reaksi dari netizen.
Tuan Rumah Layani Kunjungan Jiran
Dalam perlawanan ke-20 Liga Super semalam, tuan rumah, Pulau Pinang yang merupakan tuan rumah tewas kepada Kedah dengan keputusan 1-2 menerusi gol lewat permainan.
Kedah terlebih dahulu di depan dengan Fadzrul Danel membuka tirai jaringan pada minit ke-7. Pun begitu, pemain import tuan rumah dari Lubanan, Soony Saad kembali memberikan nafas apabila mencetak gol penyamaan pada minit ke-32.
BACA JUGA: Penonton Dakwa Dipukul Anggota JMF Ketika Perlawanan Akhir Piala FA – ACP Rahmat
Masuk ke babak kedua, perlawanan tampak seimbang dengan kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan ke kubu lawan.
Ketika perlawanan seperti berkesudahan seri 1-1, pemain import Kedah, Moses Atede muncul wira skuad Hijau Kuning selepas tendangannya dari luar kotak penalti memberikan luka terhadap tuan rumah pada minit ke-96.
Kemenangan itu membolehkan Sang Kenari kembali dalam landasan mengejar kelompok teratas liga dengan menduduki tangga ke-3 dengan 43 mata terkumpul di bawah Selangor yang berkelebihan satu perlawanan.
Sementara, Pulau Pinang kini menduduki tangga ke-10 liga dengan hanya mengumpul 19 mata daripada lima kemenangan, empat seri dan 11 kekalahan.
BACA JUGA: Betul Ke Mula Benci Lama-lama Jatuh Cinta? Drama Ni Mungkin Ada Jawapannya
Sumber: Sinar Harian