Kad Merah Mac Allister Dibatalkan, Tonggak Liverpool Terlepas Hukuman Penggantungan
Hukuman kad merah yang diberikan kepada pemain tengah Liverpool, Alexis Mac Allister dalam perlawanan menentang AFC Bournemouth pada Sabtu lepas telah ditarik balik.
Berita baik untuk para peminat The Red itu dimaklumkan sendiri oleh kelab melalui satu kenyataan media hari ini.
Terdahulu, Mac Allister dilayangkan kad merah selepas beliau melakukan terjahan yang dinilai berbahaya oleh pengadil ke atas pemain pertahanan lawan, Ryan Christie.
Walaupun mendapat bantahan daripada pemain pasukan tuan rumah, pengadil mengekalkan hukuman itu biarpun selepas melakukan penilaian semula menerusi Video Bantuan Pengadil (VAR).
Bagaimanapun, pada Isnin, Liverpool melakukan rayuan dan mendapat khabar gembira apabila FA England membatalkan hukuman berkenaan.
Kad merah tonggak Liverpool, Mac Allister dibatalkan
Pembatalan berkenaan juga menyaksikan bintang baharu Liverpool yang didatangkan daripada Brighton itu terlepas daripada hukuman penggantungan tiga perlawanan.
”Penilaian semula dibuat oleh Jawatankuasa Bebas membatalkan hukuman penggantungan tiga perlawanan terhadap Alexis Mac Allister,” kata FA England dalam satu kenyataan.
Jurgen Klopp ketika mengulas mengenai insiden kad merah berkenaan kepada Sky Sport berkata, ”tiada unsur yang mencukupi” untuk hukuman itu diberikan.
”Kita perlu bercakap mengenai perkara ini dan semua orang akan bersetuju. Saya 100 peratus faham bagaimana terjahan itu kelihatan pada mata pengadil apabila ia berlaku.
”Namun, apabila diteliti semula, tiada daya ke atas terjahan tersebut. Kita pernah melihat kekasaran lebih teruk daripada terjahan ini sebelum ini dan tidak dihukum dengan kad merah. Jadi, kita perlu bercakap mengenainya. Jika pengadil memberikan kad kuning, VAR tidak akan mengubahnya kepada kad merah.
”Tiada unsur yang mencukupi untuk kad merah. Ya, ada sentuhan berlaku namun untuk kad merah, perlu ada niat yang berbeza. Kami akan mengajukan perkara ini kepada pihak berkaitan,” katanya.
Sebelum ini, beberapa pundit terkenal EPL turut menyifatkan hukuman yang diberikan itu sebagai satu kesilapan.
”Kesalahan Mac Allister kelihatan seperti kad merah tetapi ia tidak masuk akal. Pengadil dan VAR dalam perlawanan di Liverpool membuat keputusan yang buruk,” kata Gary Lineker dalam satu tweet.
”Pada saya, bukan kesalahan kad merah. Masalahnya, pengadil mungkin merasakan Mac Allister mengangkat kaki ketika melakukan terjahan, tetapi ia kelihatan begitu kerana kedua-dua pemain ada disitu.
”Tetapi jika anda melihat pada kasut (Ryan Christie), terjahan itu terkena pada buku lali. Jika kakinya masih berada di atas tanah, terjahan itu tetap akan berakhir pada buku lali. Jadi, ia bukan terjahan tinggi. Itulah yang mengelirukan pengadil,” kata bekas pengadil EPL, Dermot Gallagher.
Dengan kepulangan semula Mac Allister, Liverpool dijangka dapat menurunkan barisan terbaik ketika turun menentang Newcastle dalam perlawanan seterusnya.
BACA: Auto Rasa Macam Olimpik, Hari Sukan Sekolah Meriah Diulas Zainal Abidin Rawop